Carian Di Blog Ini

Ahad, 9 Januari 2011

Ucapan Salam, Hukum Memberi Salam

ADA APA DENGAN UCAPAN SALAM?

Memberi atau mengucapkan salam (assalamu'alaikum) kepada seseorang Islam yang lain adalah perkara yang disunatkan oleh hukum syara'. Bahkan memberi salam itu diletak dan diperuntukkan sebagai hak seorang Islam kepada seorang Islam yang lain.

Daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW telah bersabda yang mafhumnya:

Hak orang Islam terhadap orang Islam yang lainnya ada 5 perkara:

1. Memenuhi undangan majlis yang tiada maksiat

2. Menziarahi orang yang sakit setelah 3 hari tiada kesembuhan

3.Bersama mengurus jenazah dari awal sampai ke kubur

4. Menjawab "yarhamkumullah" apabila orang bersin menyebut alhamdulillah

5. Apabila bertemu dengan orang yang dikenali atau yang tidak kenali hendaklah memberi salam kepadanya (H.R Bukhai dan Muslim)

Orang yang bakhil untuk mengucapkan salam boleh dianggap sebagai orang yang cuai dalam menunaikan hak tersebut.

Di antara masa yang disarankan untuk mengucapkan salam ialah ketika hendak masuk rumah, bukan sahaja ketika hendak masuk ke rumah orang lain bahkan juga ketika hendak masuk ke rumah sendiri. Perkara ini diperuntukkan dalam firman Allah Ta'ala yang bermaksud:

"Maka apabila kamu masuk ke mana-mana rumah hendaklah kamu memberi salam kepada sesiapa yang seperti kamu dengan memohon kepada Allah cara hidup yang berkat lagi baik." (Surah an-Nur: 61)

Menurut Asy-Syeikh Nashr bin Muhammad bin Ibrahim As-Samarqandi di dalam kitabnya Bustan Al-Arifin, tuntutan memberi salam menerusi ayat di atas adalah merangkumi dua keadaan, iaitu sama ada memberi salam ke atas ahli keluarga yang tinggal di rumah berkenaan jika mereka ada di rumah pada ketika itu, ataupun memberi salam ke atas dirinya sendiri jika tidak ada orang di dalam rumah.

Bagaimana caranya memberi salam ke atas diri sendiri? Caranya ialah dengan mengucapkan:

"Assalaa mu'alainaa wa'alaa 'ibaadillaa hisshoolihiin".

yang bermaksud:

"Sejahteralah ke atas kami dan ke atas hamba-hamba Allah yang salih."

Amalan memberi salam ini walaupun zahirnya semacam perkara kecil saja tetapi faedah atau fadhilatnya adalah besar dan hebat. Apakah fadhilat atau kelebihan memberi salam itu? Terdapat beberapa dalil syara' yang menerangkan kelebihan memberi salam, sama ada dalil yang menerangkan kelebihannya secara umum iaitu kelebihan memberi salam tanpa mengira masa-masa tertentu ataupun kelebihannya ketika hendak masuk rumah.

Dalil-dalil yang menyebutkan tentang kelebihan memberi salam secara umum itu di antaranya ialah sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

"Kamu ucapkanlah salam nescaya kamu selamat (tenteram)." (Hadis riwayat Ibnu Hibban)

Di dalam hadis yang lain Baginda SAW bersabda yang bermaksud:

"Wahai manusia! Kamu ucapkanlah salam, berilah makan dan dirikanlah sembahyang pada waktu malam sedang manusia ketika itu sedang tidur nescaya kamu akan masuk syurga dengan sejahtera." (Hadis Riwayat At-Tirmidzi)

Di dalam hadis yang lain lagi Baginda SAW bersabda yang bermaksud:

"Sesungguhnya di antara perkara yang boleh menyebabkan mendapat keampunan: Memberi salam dan baik percakapan." (Hadis riwayat ath-Thabarani)

Sementara itu, dalil-dalil yang menyebutkan secara khusus tentang kelebihan memberi salam sebelum masuk rumah di antaranya sebagaimana sabda Nabi Sallallahu 'alaihi wasallam yang bermaksud:

"Tiga golongan, semua mereka itu dijamin oleh Allah, jika dia hidup akan diberi kecukupan dan jika dia mati akan masuk syurga, iaitu: Sesiapa yang masuk rumahnya dengan memberi salam, maka dia dijamin oleh Allah 'Azza wa Jalla, sesiapa yang keluar pergi ke masjid, maka dia dijamin oleh Allah dan sesiapa yang keluar untuk pergi berjihad di jalan Allah, maka dia dijamin oleh Allah." (Hadis Riwayat Al-Bukhari)

Diriwayatkan daripada Anas bin Malik, beliau berkata: "Rasulullah Sallallahu alaihi wasallam bersabda kepadaku:

Maksudnya: "Wahai anakku! Apabila engkau masuk berjumpa ahli keluargamu berilah salam nescaya akan mendatangkan keberkatan ke atasmu dan ahli keluarga rumahmu." (Hadis riwayat at-Tirmidzi)

Sabda Rasulullah Sallallahu 'alaihi wasallam:

Maksudnya: "As-Salam itu adalah nama yang tergolong daripada nama-nama Allah Ta'ala yang diletakkanNya di bumi, maka sebarkanlah nama Allah itu di antara kamu." (Hadis riwayat al-Bazzar dan ath-Thabarani)

Maksudnya: "As-Salam itu adalah nama yang tergolong daripada nama-nama Allah Ta'ala yang diletakkanNya di bumi, maka sebarkanlah nama Allah itu di antara kamu." (Hadis riwayat al-Bazzar dan ath-Thabarani)

Berdasarkan hadis ini, As-Salam itu adalah di antara nama-nama Allah yang Maha Suci dan kita disuruh untuk menyebarkannya dengan menyebut-nyebutnya. Bertolak daripada petunjuk hadis ini, maknanya memberi salam itu juga boleh disifatkan sebagai mengingati Allah. Apabila kita merujuk kepada kelebihan menyebut nama Allah sebelum masuk rumah, disebutkan bahawa rumah tersebut akan terhindar daripada syaitan. Ini jelas sebagaimana yang diriwayatkan daripada Jabir Radhiallahu "anhu, beliau mendengar Nabi Sallallahu "alaihi wasallam bersabda yang mafhumnya:

"Apabila seorang lelaki masuk ke rumahnya lalu dia mengingati Allah 'Azza wa Jalla ketika dia masuk rumah dan ketika makan, syaitan berkata (kepada suku-sakatnya): "Tidak ada tempat bermalam dan makan malam bagi kamu". Dan jika dia masuk tanpa mengingati Allah ketika dia masuk, syaitan berkata: "Bagi kamu ada tempat untuk bermalam". Jika dia tidak mengingati Allah ketika dia makan, syaitan berkata: "Bagi kamu ada tempat bermalam dan makan malam." (Hadis riwayat al-Bukhari dalam kitab al-adab al-Mufrad)

Dari beberapa hadis yang tersebut di atas, nyatalah kepada kita akan kehebatan fadhilat memberi salam khususnya memberi salam sebelum masuk rumah. Dengan ucapan salam, rumahtangga akan diliputi keberkatan daripada Allah Ta'ala, diberi kecukupan dan terhindar daripada gangguan syaitan. Bila rumah mendapat berkat maka penghuninya akan hidup dalam keadaan tenang, tenteram dan rukun damai.

Selain itu, menurut penyelidikan dan pengalaman orang-orang yang beriman, selain diri kita manusia yang boleh dilihat dengan pandangan mata kasar ini, di dalam rumah kita kadang-kadang terdapat penghuni lain terdiri daripada makhluk Allah yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar. Dengan ucapan salam kadang-kadang terbukti mereka yan g memusuhi kita boleh menjadi baik dan tidak mengganggu kita.

Inilah sebahagian daripada adab dan sopan santun dalam Islam yang wajar dijadikan amalan seharian dalam hidup kita. Adab dan sopan santun ini bukanlah terbit daripada hasil pemikiran, tetapi berpandu dan bersandarkan kepada wahyu Ilahi untuk membimbing kebahagiaan dan keharmonian hidup manusia bermasyarakat.

Selain itu, menurut penyelidikan dan pengalaman orang-orang yang beriman, selain diri kita manusia yang boleh dilihat dengan pandangan mata kasar ini, di dalam rumah kita kadang-kadang terdapat penghuni lain terdiri daripada makhluk Allah yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar. Dengan ucapan salam kadang-kadang terbukti mereka yan g memusuhi kita boleh menjadi baik dan tidak mengganggu kita.

Inilah sebahagian daripada adab dan sopan santun dalam Islam yang wajar dijadikan amalan seharian dalam hidup kita.