Carian Di Blog Ini

Sabtu, 1 Oktober 2011

Ketumbit Di Mata

Ketumbit berlaku disebabkan oleh kelenjar minyak yang terletak berhampiran dengan kelopak mata menjadi tersumbat. Kelenjar minyak yang telah tersumbat ini kebiasaannya akan dijangkiti oleh bakteria seperti bakteria “Staphylococcus aureus”. Penghasilan atau pengumpulan minyak yang berlebihan menyediakan keadaan yang sesuai untuk pembiakan bakteria.

Antara faktor-faktor yang boleh menyebabkan kelenjar minyak tersumbat ialah :

* Tekanan
* Pertukaran hormon
* Mengguna peralatan solek yang sama buat satu jangka masa yang lama atau yang telah dijangkiti oleh bakteria
* Diabetis
* Kandungan lemak yang tinggi dalam badan
* Kekurangan vitamin dalam badan

Patogenesis - Kelenjar minyak yang terletak berhampiran dengan kelopak mata tersumbat dan mengakibatkan minyak yang dihasilkan oleh kelenjar berkenaan berkumpul dan mengalir keluar daripada dinding kelenjar tersebut membentuk seperti gumpalan kecil (bisul) di pinggir kelopak mata. Bisul tersebut kebiasaannya amat sakit, berwarna merah dan bernodul. Kebiasaannya, kelenjar minyak yang tersumbat amat mudah dijangkiti oleh bakteria dan ini menyebabkan pesakit mengalami kesakitan yang teruk dan kawasan di sekitar kelopak mata yang terlibat menjadi kemerahan.

Ketumbit kebiasaannya kelihatan putih atau kekuningan seperti jerawat. Ketumbit boleh berlaku pada bahagian sebelah mata sahaja atau kadangkala ia boleh melibatkan kedua-dua belah mata dalam satu masa, secara serentak. Bisul yang terhasil pada kebiasaannya akan surut dengan sendirinya apabila bahan yang menutup lubang kelenjar minyak tersebut dialihkan. Jangkitan oleh bakteria juga akan pulih apabila nanah dikeluarkan dan bahagian kelenjar tersebut dibersihkan.

Simptom-Simptom
* Bisul di bahagian atas atau bawah kelopak mata
* Bengkak di sekeliling kelopak mata
* Sakit
* Kelopak mata menjadi merah
* Kelopak mata terasa sakit apabila disentuh
* Mata menjadi pedih
* Mata berair
* Gatal-gatal di kawasan bisul
* Pesakit berasa tidak selesa semasa mengelipkan mata
* Sensitif kepada cahaya yang cerah