5. Setelah 53 bajet, 10 Rancangan Malaysia, 3 Rangka Rancangan Jangka
Panjang yang masing-masing berpayung di bawah Dasar Ekonomi Baru
antara 1971 hingga 1990, Dasar Pembangunan Nasional melewati
tempoh-tempoh 1991 sampai tahun 2000 dan Dasar Wawasan Nasional yang
merentasi 2001 hingga 2010, hari ini, kita sederap untuk menyambung
langkah menuju negara maju berpendapatan tinggi.
6. Seperti mana semua mengetahui, saya telah memulakan pentadbiran ini
dengan menggariskan falsafah pemandu 1Malaysia Rakyat Didahulukan,
Pencapaian Diutamakan. Kemudian, ia telah disusuli dengan pelaksanaan
Program Transformasi Kerajaan (GTP) dengan 7 NKRA, Program Transformasi
Ekonomi (ETP) dengan 12 NKEA, Model Baru Ekonomi dengan 8 SRI dan
baru-baru ini, Program Transformasi Politik yang akan menyaksikan proses
besar islah undang-undang bagi membolehkan Malaysia menjadi sebuah
negara yang moden, progresif sekaligus demokrasi yang berfungsi. Selain
itu, dari masa hingga masa, bagi melengkapkan segala-galanya, Kerajaan
akan memetakan lagi beberapa program transformasi sektoral.
Kemuncaknya, kesemua program dan inisiatif ini akan berpayung pada
Dasar Transformasi Nasional atau DTN yang mula berlangsung pada tahun
2011 sehinggalah 2020.
7. Kemasukan pelaburan langsung asing telah kembali rancak dan
menunjukkan trend yang meningkat. Pelaburan langsung asing (FDI)
berkembang 6 kali ganda kepada 29 bilion ringgit pada tahun 2010,
mencatat pertumbuhan yang tertinggi di Asia. Kemasukan FDI terus
melonjak kukuh sebanyak 75 peratus kepada 21.2 bilion ringgit dalam
tempoh 6 bulan pertama 2011 berbanding 12.1 bilion ringgit bagi tempoh
yang sama tahun 2010. Pada tahun 2012, pelaburan swasta dijangka
berkembang kukuh 15.9 peratus disokong oleh peningkatan kemasukan
pelaburan langsung asing dan domestik.
8. Asas ekonomi negara kekal utuh. Sistem kewangan dan perbankan
negara terus teguh dengan nisbah modal wajaran risiko adalah 14.8
peratus, jauh melebihi paras keperluan 8 peratus dalam piawaian
antarabangsa. Rizab antarabangsa terus kukuh mencatat 414.5 bilion
ringgit pada 15 September 2011, mampu membiayai 9.5 bulan import
tertangguh serta 4.5 kali hutang luar jangka pendek. Pendapatan per
kapita dianggarkan meningkat kepada 28,725 ringgit pada tahun 2011
berbanding 26,175 ringgit pada tahun 2010.
9. Berikutan pertumbuhan ekonomi global tidak menentu, perdagangan
luar sederhana, tekanan inflasi meningkat serta suasana geopolitik yang
bergolak, pertumbuhan ekonomi negara dalam tempoh separuh pertama 2011
mencatat 4.4 peratus. Pertumbuhan ini didorong oleh perkembangan
ekonomi domestik yang kekal tegap. Momentum ini dijangka meningkat
dalam tempoh separuh kedua 2011, dipacu oleh penggunaan dan pelaburan
swasta yang lebih rancak. Dengan ini, pertumbuhan ekonomi bagi tahun
2011 dianggar berkembang 5 hingga 5.5 peratus.
10. Bagi tahun 2012 pula, prospek ekonomi global dijangka lebih
mencabar. Tabung Kewangan Antarabangsa telah menyemak semula pertumbuhan
ekonomi dunia kepada 4 peratus dan perdagangan dunia kepada 5.8
peratus. Ini berikutan kelembapan ekonomi di Amerika Syarikat, Eropah
dan Jepun, tekanan inflasi akibat kenaikan harga komoditi, krisis hutang
negara Eropah serta perdagangan dunia yang lebih perlahan.
Perkembangan global ini sudah tentunya memberi impak langsung ke atas
ekonomi Malaysia.
11. Mengambil kira faktor ini, Kerajaan akan menyusun strategi
merancakkan aktiviti ekonomi domestik terutamanya pelaburan swasta dan
awam, serta penggunaan swasta. Pelaburan swasta dan awam dijangka
meningkat 15.9 peratus dan 7 peratus, disokong oleh peningkatan
pelaburan langsung asing, pelaksanaan projek ETP dan Rolling Plan Kedua
(RP-Kedua) di bawah Rancangan Malaysia ke-10 (RMKe-10). Penggunaan
swasta di unjur meningkat 7.1 peratus berikutan peningkatan pendapatan
boleh guna dan prospek pekerjaan yang lebih positif. Dari sudut
penawaran, sektor perkhidmatan dijangka berkembang 6.5 peratus manakala
sektor pembinaan meningkat 7 peratus. Oleh itu, pertumbuhan ekonomi
negara bagi tahun 2012 diunjurkan antara 5 hingga 6 peratus.
PERUNTUKAN BAJET 2012
12. Bajet 2012 akan menyediakan peruntukan 232.8 bilion ringgit bagi
melaksanakan semua rancangan pembangunan Kerajaan termasuk projek dan
program di bawah RP-Kedua, NKEA, NKRA dan SRI khususnya menumpukan
kepada kesejahteraan rakyat. Daripada jumlah tersebut 181.6 bilion
ringgit adalah bagi peruntukan perbelanjaan mengurus dan 51.2 bilion
ringgit bagi perbelanjaan pembangunan.
13. Di bawah peruntukan mengurus, 52 bilion ringgit adalah bagi
Emolumen dan 30.5 bilion ringgit disediakan bagi Perkhidmatan dan
Bekalan. Manakala, 96.5 bilion ringgit diperuntukkan kepada Pemberian
dan Kenaan Bayaran Tetap. Sejumlah 1.1 bilion ringgit disediakan untuk
Pembelian Aset dan baki 1.5 bilion ringgit untuk perbelanjaan lain.
14. Bagi peruntukan pembangunan pula, 29.8 bilion ringgit disediakan
bagi sektor ekonomi untuk menampung keperluan infrastruktur,
perindustrian serta pertanian dan pembangunan luar bandar. Sejumlah 13.6
bilion ringgit diperuntukkan bagi sektor sosial, termasuk pendidikan
dan latihan, kesihatan, kebajikan, perumahan serta pembangunan
masyarakat. Seterusnya, 4.4 bilion ringgit diperuntukkan bagi
pembangunan sektor keselamatan, 1.4 bilion ringgit bagi pentadbiran am
dan 2 bilion ringgit untuk simpanan luar jangka.
15. Dari segi kutipan hasil Kerajaan Persekutuan bagi tahun 2012,
jumlahnya dianggarkan meningkat 1.9 peratus kepada 186.9 bilion ringgit,
berbanding 183.4 bilion ringgit pada tahun 2011. Dengan mengambil
kira anggaran hasil dan perbelanjaan, defisit Kerajaan Persekutuan
bagi tahun 2012 dijangka terus berkurangan kepada 4.7 peratus daripada
KDNK, berbanding 5.4 peratus pada tahun 2011.
16. Dalam menangani persekitaran luar yang semakin mencabar usaha akan
terus dilaksanakan bagi memperkukuh ekonomi domestik. Bagi terus
memantapkan pertumbuhan ekonomi negara, Kerajaan akan melaksanakan Pakej
Rangsangan Khas dibiayai melalui Private Financing Initiative (PFI).
Kaedah ini telah terbukti berjaya merangsangkan ekonomi negara melalui
penambahan projek-projek yang produktif dan boleh meningkatkan
kesejahteraan rakyat. Melalui inisiatif ini, beberapa projek awam
seperti pembaikan dan penyelenggaraan sekolah, termasuk pembinaan blok
baru, menaiktaraf hospital, rancangan tebatan banjir, menaiktaraf
infrastruktur asas luar bandar serta pembinaan perumahan rakyat termasuk
perumahan golongan nelayan dan golongan berpendapatan rendah dapat
dilaksanakan. Bagi tahun 2012, jumlah projek melalui Pakej Rangsangan
Khas ini berjumlah 6 bilion ringgit akan dilaksanakan.
FOKUS BAJET 2012
17. Dengan izin Allah SWT jua, Bajet 2012 dirangka dan dirancang
bertemakan “DASAR TRANSFORMASI NASIONAL: BAJET MEMBELA RAKYAT,
MENSEJAHTERA NEGARA” dengan memberi penekanan kepada lima fokus utama.
FOKUS PERTAMA: MELIGAT PELABURAN
18. Sesungguhnya, sektor perkhidmatan merupakan penyumbang terbesar
kepada ekonomi negara dengan mencatatkan hampir 58 peratus kepada KDNK.
Di bawah RMKe-10, Kerajaan mensasarkan sektor ini mencapai 60 peratus
kepada KDNK menjelang tahun 2015. Kerajaan akan meliberalkan 17 lagi
subsektor perkhidmatan secara berfasa pada tahun 2012, merangkumi
perkhidmatan hospital swasta; perkhidmatan pakar perubatan dan
pergigian; arkitek; kejuruteraan; perakaunan dan percukaian;
perundangan; perkhidmatan kurier; perkhidmatan pendidikan dan latihan;
serta perkhidmatan telekomunikasi. Inisiatif ini akan membolehkan hak
pegangan ekuiti asing sehingga 100 peratus dalam subsektor terpilih.
19. Tahun 2012 juga merupakan tahun pertama pelaksanaan Rolling Plan
Kedua bagi Rancangan Malaysia Ke-10 dengan peruntukan sebanyak 98.4
bilion ringgit, 49.2 bilion ringgit bagi tahun 2012 dan 49.2 bilion
ringgit lagi bagi tahun 2013. Rolling Plan Kedua akan menumpukan kepada
projek pembangunan berimpak tinggi dan menyumbang kepada pertumbuhan
ekonomi negara. Serentak itu, untuk mempastikan setiap sen yang
dibelanjakan membawa manfaat kepada rakyat, pengurusan nilai, akan terus
diamalkan bagi projek baru bernilai 50 juta ringgit ke atas.
20. Antara projek utama yang akan dilaksanakan adalah:
- Projek landasan kereta api berkembar Gemas – Johor Bahru.
- Projek Lebuhraya Pantai Timur Jabor – Kuala Terengganu, Lebuhraya Pantai Barat Banting – Taiping, Lebuhraya Segamat – Tangkak dan Lebuhraya Central Spine serta pembinaan jalan Kota Marudu – Ranau.
- Pembangunan semula Pangkalan Udara Sungai Besi Kuala Lumpur.
21. Dalam Rancangan Malaysia Ke-10, Kerajaan telah menyediakan
peruntukan sebanyak 20 bilion ringgit di bawah Dana Mudahcara
perkongsian awam-swasta atau PPP. Ia berperanan sebagai tipping point
bagi membantu sektor swasta membangunkan projek yang mempunyai nilai
strategik kepada negara. Daripada jumlah ini, 18 bilion ringgit untuk
kegunaan projek berimpak tinggi manakala 2 bilion ringgit untuk projek
melibatkan usahawan Bumiputera. Bagi tahun 2012 pula, Kerajaan
memperuntukkan 2.5 bilion ringgit di bawah dana ini dan dijangka 300
juta ringgit akan digunakan oleh usahawan Bumiputera.
22. Bagi tahun 2012, Kerajaan akan memperuntukkan 978 juta ringgit
untuk merancakkan pembangunan di lima wilayah koridor. Di antara projek
yang akan dilaksanakan adalah, pembinaan lebuh raya persisiran pantai
Johor Bahru-Nusa Jaya di Iskandar Johor; projek pelancongan warisan
Taiping di Koridor Utara; projek agropolitan Besut di Koridor Pantai
Timur; projek kelompok industri berasaskan kelapa sawit Lahad Datu di
Wilayah Koridor Sabah dan projek bekalan air Samalaju di Wilayah Koridor
Sarawak.
23. Dalam ikhtiar merancakkan industri perbankan, kewangan dan pasaran
modal, usaha berterusan diperlukan bagi menggalakkan pembangunan
perkhidmatan kewangan yang lebih berintegrasi serta komprehensif. Ia
dapat dicapai dengan penubuhan Pusat Pengurusan Perbendaharaan yang akan
membangunkan Malaysia sebagai pusat kewangan berdaya saing di rantau
ini. Bagi menarik syarikat multinasional memilih Malaysia sebagai
destinasi utama Perkhidmatan Pengurusan Perbendaharaan, Kerajaan
mencadangkan pakej galakan berikut:
- Pertama: Pengecualian cukai pendapatan sebanyak 70 peratus selama 5 tahun.
- Kedua: Pengecualian cukai pegangan ke atas pembayaran faedah pinjaman.
- Ketiga: Pengecualian duti setem ke atas surat cara perjanjian pinjaman dan perjanjian perkhidmatan.
24. Seperti dibentang dalam Bajet 2011, Kerajaan bersetuju untuk
membangunkan Pusat Kewangan Antarabangsa Kuala Lumpur atau KLIFD dan
menimbang pakej insentif yang menarik. Dengan itu, saya mencadangkan:
- Pertama: Pengecualian cukai pendapatan seratus peratus bagi tempoh sepuluh tahun dan pengecualian duti setem ke atas surat cara perjanjian pinjaman dan perjanjian perkhidmatan bagi syarikat berstatus KLIFD.
- Kedua: Elaun Bangunan Industri dan Elaun Modal Dipercepatkan bagi syarikat berstatus KLIFD Marquee.
- Ketiga: Pengecualian cukai pendapatan sebanyak 70 peratus selama lima tahun bagi pemaju hartanah di KLIFD.
25. Merujuk industri kewangan Islam pula, ia telah berkembang pesat
sejak sedekad lalu yakni 22 peratus kepada jumlah keseluruhan aset
kewangan berbanding 6.9 peratus pada tahun 2000. Industri kewangan Islam
menyumbang 11 peratus kepada jumlah pekerjaan sektor kewangan negara.
Sektor perbankan Islam dan takaful terus mencatatkan pertumbuhan dua
digit dalam tempoh lima tahun yang lepas.
26. Pasaran sukuk Malaysia juga terus menjadi pasaran bon Islam
terbesar di dunia mewakili dua per tiga daripada sukuk terkumpul global.
Kita juga menjadi perintis dalam mencipta produk kewangan Islam
berinovatif. Pada tahun ini, kita berjaya menerbitkan Sukuk Global
Wakala pertama di dunia bernilai dua bilion dolar Amerika dengan lebihan
langganan 4.5 kali ganda. Hakikat ini menjadi bukti meningkatnya
keyakinan pelabur terhadap ekonomi negara dan penerimaan dunia terhadap
produk kewangan Islam terbitan Malaysia. Lantaran itu, bagi terus
menggalakkan penerbitan sukuk yang menggunakan struktur wakala, potongan
cukai diberi bagi tempoh tiga tahun ke atas perbelanjaan penerbitan
sukuk wakala mulai tahun taksiran 2012. Manakala, pengecualian cukai
pendapatan ke atas penerbitan dan urus niaga sukuk bukan ringgit
dilanjutkan lagi selama tiga tahun sehingga taksiran 2014.
27. Di sudut lain, Exchange Traded Fund atau ETF merupakan salah satu
produk kewangan inovatif. Cabaran krisis kewangan dunia yang berlaku
pada tahun 2008 telah membuatkan para pelabur menilai semula tahap
risiko pelaburan mereka dan beralih kepada ETF. Ciri kepelbagaian
portfolio yang merangkumi keseluruhan spektrum ekuiti, bon dan komoditi
membolehkan para pelabur meneroka peluang pelaburan baru melalui
pasaran ETF. Untuk merancakkan lagi pembangunan produk ETF, I-VCap,
anak syarikat Valuecap Sendirian Berhad akan menyediakan dana permulaan
patuh Syariah berjumlah 200 juta ringgit. Dana ini akan memberi
pinjaman secara pemadanan dengan jumlah maksimum 20 juta ringgit.
28. InsyaAllah, Kerajaan bercadang untuk menyenaraikan FELDA Global
Ventures Holdings atau FGVH sebelum pertengahan tahun 2012 bagi
menghasilkan dana untuk menjadikan FGVH sebuah syarikat berstatus
konglomerat global. Penyenaraian FGVH akan mewujudkan sebuah lagi
syarikat blue chip perladangan di samping meningkatkan minat pelabur
antarabangsa terhadap Bursa Malaysia. Walau apa pun, hak dan faedah
peneroka akan terus dipelihara melalui pemilikan majoriti saham oleh
Koperasi Permodalan FELDA. Apa yang mustahak, setiap peneroka akan
menerima “durian runtuh” yang mana jumlahnya akan diumumkan nanti,
sebelum penyenaraian dilakukan.
29. Menyedari pula keperluan mempelbagaikan produk pasaran modal bagi
menarik pelaburan tempatan dan asing, Kerajaan telah memberi kadar
cukai konsesi 10 peratus ke atas dividen pelabur institusi bukan
korporat dan pelabur individu dalam Amanah Pelaburan Hartanah sehingga
31 Disember 2011. Bagi terus menggalakkan perkembangan industri ini,
Kerajaan mencadangkan galakan cukai dilanjutkan selama 5 tahun lagi
mulai 1 Januari 2012 hingga 31 Disember 2016.
30. Seperti yang dimaklumi, Perusahaan Kecil Sederhana (PKS)
menyumbang hampir 31 peratus kepada KDNK, 56 peratus kepada tenaga kerja
dan mencakupi 19 peratus daripada jumlah eksport. Sebagai usaha
meningkatkan lagi sumbangan PKS kepada pertumbuhan ekonomi, satu skim
Dana Pembiayaan PKS patuh syariah berjumlah dua bilion ringgit yang
dikendalikan oleh bank-bank Islam terpilih akan diwujudkan pada 2012.
Seiring maksud ini, Kerajaan akan menanggung dua peratus daripada kadar
keuntungan pembiayaan.
31. Selanjutnya, kita tahu bahawa, kegagalan usahawan bukan semuanya
disebabkan oleh ketidakupayaan berniaga tetapi juga oleh faktor di luar
kawalan seperti kemelesetan ekonomi dan kenaikan kos. Gagal sekali
tidak bermakna gagal selama-lamanya atau pintu kejayaan telah tertutup.
Usahawan yang ikhlas dan gigih dalam perniagaan mesti diberi peluang
kedua. Bagi tujuan ini, Kerajaan akan menyediakan SME Revitalisation
Fund dengan dana 100 juta ringgit. Skim ini menawarkan pinjaman mudah
dengan maksimum satu juta ringgit kepada golongan peniaga untuk
membangunkan semula perniagaan mereka. Dana ini akan diuruskan oleh SME
Bank dan akan ditawarkan pada Januari 2012.
32. Kerajaan juga bercadang untuk menubuhkan satu Dana Kecemasan PKS
sebanyak 10 juta ringgit untuk membantu PKS yang terlibat dengan
bencana alam. Penubuhan dana ini adalah satu langkah proaktif bagi
membantu PKS supaya dapat beroperasi semula seperti biasa dalam tempoh
yang singkat. Dana ini akan disalurkan kepada PKS dalam bentuk geran
dan pinjaman mudah melalui SME Corporation dan MIDF. Skop pembiayaan
dana akan meliputi pembelian mesin dan peralatan untuk menggantikan
mesin yang musnah dalam bencana alam, pembelian bahan mentah dan
membaik pulih premis.
33. Menyentuh perniagaan francais pula, kita dapati, francais oleh
syarikat tempatan dapat memperkasakan jenama Malaysia. Jadinya, bagi
terus menyokong pembangunan industri francais tempatan, Kerajaan
mencadangkan fi francais yang ditanggung oleh francaisi dibenarkan
potongan cukai. Kerajaan menyeru syarikat francais tempatan tidak
melepaskan peluang untuk terus berusaha dan memantapkan lagi perniagaan
termasuklah mengembangkan sayapnya ke luar negara.
34. Dalam usaha memajukan teknologi hijau dan menjamin kelestarian
pembangunan negara, pengecualian sepenuhnya duti import dan duti eksais
kepada pemegang francais akan terus diberi bagi mengimport kereta
hibrid dan kereta elektrik. Pengecualian cukai ini dilanjutkan sehingga
31 Disember 2013.
35. Berkaitan pelancongan pula, pada tahun 2010, sektor ini berjaya
menarik seramai 25 juta pengunjung asing dengan pendapatan 56 bilion
ringgit. Bagi terus menggalakkan pelancong dari dalam dan luar negara,
destinasi menarik khususnya Pulau Langkawi
akan dibangunkan semula. Pelan Induk Lima Tahun Pembangunan
Pelancongan Langkawi akan dilancarkan dengan peruntukan pembangunan 420
juta ringgit. Antara inisiatif yang akan diambil ialah menyusun
semula Lembaga Pembangunan Langkawi, penubuhan pasukan renjer hutan,
menaik taraf muzium, kawasan pantai dan perniagaan serta menyediakan
sistem pengangkutan yang lebih efisien.
36. Kerajaan juga akan terus membantu sektor swasta menyediakan lebih
banyak kemudahan penginapan bagi menarik pelancong berbelanja tinggi.
Bagi menggalakkan lagi pelaburan dalam bidang perhotelan setanding
dengan hotel terkemuka di dunia, Kerajaan mencadangkan pengusaha yang
melabur dalam hotel baru bertaraf empat dan lima bintang di
Semenanjung Malaysia diberi galakan Taraf Perintis dengan pengecualian
cukai pendapatan sebanyak 70 peratus atau Elaun Cukai Pelaburan
sebanyak 60 peratus bagi tempoh lima tahun. Galakan cukai yang serupa
telah diberi kepada pengusaha hotel di Sabah dan Sarawak. Di samping
itu, Kerajaan akan memperbadankan Malaysia Healthcare Travel Council
bagi membangun dan mempromosi negara sebagai destinasi utama penjagaan
kesihatan di rantau ini.
37. Berhubung kadar cukai keuntungan harta tanah (RPGT), kadar tetap
RPGT yang rendah iaitu lima peratus didapati tidak begitu berkesan
untuk membendung aktiviti spekulasi dalam pasaran hartanah yang mana
jika tidak dikawal akan memberi tekanan kepada harga hartanah. Situasi
ini dalam jangka masa panjang akan menjejaskan kemampuan golongan
berpendapatan rendah dan sederhana untuk memiliki rumah. Bagi menangani
masalah
ini, Kerajaan mencadangkan kadar RPGT dikaji semula. Bagi hartanah
yang dilupuskan dalam tempoh pegangan sehingga dua tahun, kadar RPGT
adalah 10 peratus. Bagi hartanah yang dilupuskan dalam tempoh pegangan
melebihi dua hingga lima tahun, RPGT dikekalkan pada kadar lima
peratus. Bagi hartanah yang dilupuskan selepas lima tahun pula, RPGT
tidak dikenakan. Saya yakin, kadar RPGT yang masih rendah ini tidak
menjejaskan pemilik hartanah tulin dan sekali gus dapat mengawal
aktiviti spekulasi dalam sektor hartanah.
FOKUS KEDUA: MENGUNGGULI MODAL INSAN, MENCERNA KREATIVITI DAN MENCETUS INOVASI
38. Sememangnya, inovasi membolehkan rantaian nilai ekonomi
dianjak ke tahap yang lebih tinggi. Inovasi mencetuskan idea baru yang
dirubah menjadi nilai komersial berdaya maju. Justeru, institusi
penyelidikan perlu menyusun semula strategi untuk menterjemahkan hasil
R&D kepada produk yang bernilai komersial. Inovasi perlu diterap
dan diamalkan oleh semua, termasuk sektor swasta, sektor awam, NGO,
ibu bapa, institusi pengajian tinggi, pelajar sekolah, hatta
kanak-kanak prasekolah. Dengan ini, sukacita saya mengumumkan tahun
2012 sebagai tahun Gerakan Inovasi Nasional. Bagi menjayakan hasrat
ini, Kerajaan telah mengatur beberapa inisiatif strategik dengan
peruntukan 100 juta ringgit seperti berikut:
- Pertama: Melaksana program penerapan dan pembangunan inovasi di peringkat sekolah dan IPTA serta di kawasan luar bandar. Program ini akan dijalankan melalui kerjasama antara agensi Kerajaan dan NGO.
- Kedua: Meneruskan pelaksanaan program Jejak Inovasi oleh Yayasan Inovasi Malaysia untuk menggalakkan pencetusan idea baru dan pengkomersialan produk inovasi hasil penciptaan rakyat terutamanya di luar bandar.
- Ketiga: Memperkenalkan Anugerah Cipta 1Malaysia (C1PTA) bagi mengiktiraf reka cipta pelajar dan belia yang paling inovatif di peringkat nasional. Program ini akan dilaksanakan oleh NGO dengan kerjasama Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi.
- Keempat: Memupuk budaya inovasi melalui program realiti dan dokumentari inovasi di media elektronik serta penerbitan artikel di media cetak.
- Kelima: Mempastikan sesuatu produk melalui market validation untuk menentukan daya maju komersial. Untuk ini, Market Validation Fund dengan peruntukan permulaan 30 juta ringgit akan diwujud dan diuruskan oleh Malaysian Technology Development Corporation (MTDC) dengan kerjasama Agensi Inovasi Malaysia.
- Keenam: Lebih daripada 300 harta intelek dalam bentuk produk dan teknologi baru daripada universiti akan ditawarkan kepada sektor swasta untuk dikomersialkan. Jangkaan Gross National Income atau GNI yang dijana adalah melebihi 30 billion ringgit sehingga tahun 2020.
- Ketujuh: Menganjur World Innovation Forum dan Asia Business Angel Forum pada tahun 2012. Inisiatif ini merupakan sebuah platform untuk menemukan pelabur dan pembiaya serta komuniti usahawan.
39. Untuk membolehkan syarikat PKS memulakan perniagaan produk
penyelidikan baru dan pengkomersialan, Kerajaan akan menyediakan Dana
Inovasi Pengkomersialan patuh syariah berjumlah 500 juta ringgit pada
kadar keuntungan yang menarik. Dana ini membiayai syarikat PKS di mana
produknya telah menjalani proses pengesahan pengkomersialan pasaran.
Dana ini akan disediakan oleh bank-bank Islam terpilih mulai tahun 2012
dengan Kerajaan menanggung dua peratus daripada kadar keuntungan.
40. Dalam aspek ini juga, industri perkhidmatan reka bentuk yang
meliputi kreativiti dan inovasi dapat menyumbang kepada peningkatan
fungsi dan keselamatan produk, pengurangan kos serta memenuhi cita rasa
pengguna masa kini. Di samping itu, industri ini juga memainkan
peranan penting untuk terus meningkatkan produktiviti, kualiti dan
daya saing produk. Bagi menggalakkan kreativiti, inovasi dan teknologi
moden yang melibatkan pereka bentuk tempatan, Kerajaan mencadangkan
perkhidmatan reka bentuk industri diberi galakan Taraf Perintis dengan
pengecualian cukai pendapatan sebanyak 70 peratus selama lima tahun.
41. Ilmu pengetahuan adalah tonggak kepada pembikinan sesebuah tamadun
dan pelapik asas bagi mencapai kecemerlangan. Jadinya, untuk menuju
aspirasi negara maju berpendapatan tinggi, Kerajaan memberi keutamaan
kepada pembangunan sistem pendidikan yang dapat melahirkan tenaga
kerja berbakat, berkemahiran tinggi, mempunyai daya kreativiti serta
berinovatif. Sektor pendidikan akan diperuntukkan 50.2 bilion ringgit
bagi tahun 2012. Bagi Kementerian Pelajaran, peruntukan pembangunan
sebanyak 1.9 bilion ringgit akan dibelanjakan untuk semua jenis
sekolah terdiri daripada Sekolah Kebangsaan, Sekolah Jenis Kebangsaan
Cina dan Tamil, Sekolah Mubaligh dan Sekolah Agama Bantuan Kerajaan.
42. Sebagai tambahan, peruntukan 1 bilion ringgit akan diwujudkan
melalui Tabung Khas Pembinaan, Penambahbaikan dan Penyelenggaraan
Sekolah khusus bagi keperluan mendesak untuk membaik-pulih bangunan
sekolah, penyelenggaraan, pembelian peralatan dan pembinaan blok
tambahan. Daripada peruntukan tersebut, 500 juta ringgit kepada Sekolah
Kebangsaan, 100 juta ringgit disediakan kepada Sekolah Jenis
Kebangsaan Cina, 100 juta ringgit Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil, 100
juta ringgit Sekolah Mubaligh, 100 juta ringgit Sekolah Agama Bantuan
Kerajaan dan 100 juta ringgit kepada Maktab Rendah Sains MARA.
43. Bagi membolehkan setiap anak-anak Malaysia tanpa mengira latar
sosioekonomi berpeluang kepada masa depan yang lebih baik maka kerajaan
akan mempastikan akses kepada pendidikan berkualiti dan berkemampuan.
Pada masa ini, pelajar masih dikenakan bayaran 24 ringgit 50 sen bagi
sekolah rendah dan 33 ringgit 50 sen bagi sekolah menengah untuk
bayaran kokurikulum, kertas ujian dalaman, Majlis Sukan
Sekolah-Sekolah Malaysia dan Insuran Takaful. Ingin dimaklumkan
bahawa, mulai sesi persekolahan 2012, bayaran ini akan dimansuhkan.
Dengan ini, sukacita diumumkan bahawa, buat pertama kalinya dalam
sejarah, pendidikan rendah dan menengah di sekolah-sekolah kerajaan
adalah disedia dengan percuma. Pemansuhan semua bayaran ini akan
melibatkan peruntukan sebanyak 150 juta ringgit.
44. Sektor swasta turut memainkan peranan penting dalam menyediakan
pendidikan berkualiti untuk melahirkan generasi masa hadapan yang
cemerlang. Oleh itu, Kerajaan mencadangkan sekolah swasta yang berdaftar
dengan Kementerian Pelajaran dan memenuhi peraturan yang ditetapkan
diberi galakan berikut:
- Pertama: Pengecualian cukai pendapatan sebanyak 70 peratus atau Elaun Cukai Pelaburan sebanyak 100 peratus ke atas perbelanjaan modal dalam tempoh lima tahun.
- Kedua: Potongan dua kali bagi perbelanjaan promosi di luar negara bagi menarik lebih ramai kemasukan pelajar asing.
- Ketiga: Pengecualian duti import dan cukai jualan ke atas semua peralatan pembelajaran.
Kerajaan berharap, dengan adanya penjimatan kos ini kepada
pengendali sekolah swasta, sebagai imbal balas dapatlah dikurangkan
sedikit yuran sekolah para pelajar, agar beban para ibu bapa dapat
diringankan.
45. Institusi pendidikan rendah dan menengah yang berdaftar,
termasuklah sekolah kebangsaan, sekolah jenis kebangsaan, sekolah
mubaligh dan sekolah agama, seringkali menerima sumbangan kewangan
daripada syarikat dan orang perseorangan bagi menambah baik kemudahan di
sekolah-sekolah tersebut. Bagi menggalakkan orang ramai menyumbang
kepada sekolah-sekolah tersebut, maka sumbangan seperti ini diberi
potongan cukai. Kemudahan ini juga dipanjangkan kepada semua
tempat-tempat ibadat yang berdaftar. Kerajaan akan menyegerakan
kelulusan pengecualian cukai bagi institusi pendidikan dan semua rumah
ibadat dalam tempoh masa yang singkat.
46. Di samping itu, sektor swasta adalah disaran untuk berganding bahu
memantapkan pembangunan modal insan berkemahiran tinggi. Untuk ini,
Kerajaan mencadangkan pemberian galakan cukai berikut:
- Pertama: Potongan dua kali ke atas perbelanjaan yang dilakukan oleh syarikat dalam melaksanakan program Internship.
- Kedua: Potongan dua kali ke atas pemberian biasiswa.
- Ketiga: Potongan dua kali ke atas perbelanjaan bagi menyertai pameran kerjaya di luar negara.
FOKUS KETIGA: PROGRAM TRANSFORMASI LUAR BANDAR
47. Program Transformasi Luar Bandar atau RTP merupakan pelengkap
program transformasi menyeluruh negara. RTP akan mentransformasikan
kawasan luar bandar supaya mampu menarik pelaburan swasta, menyediakan
peluang pekerjaan dan kegiatan ekonomi serta menggalakkan generasi muda
kembali berkhidmat. Oleh itu, Kerajaan akan melaksanakan beberapa
langkah seperti berikut:
- Pertama: Mewujudkan Pusat Transformasi Luar Bandar atau RTC sebagai pusat integrasi perkhidmatan meliputi pengumpulan, pemprosesan dan pengedaran hasil pengeluaran pertanian; perbankan dan insurans; khidmat nasihat perniagaan; latihan dan kemahiran; klinik serta ruang niaga. Buat permulaan, Terminal Agrobisnes Negara atau TEMAN sedia ada di Wakaf Che Yeh, Kelantan dan Gopeng, di Perak akan dimajukan sebagai projek perintis RTC. Di samping itu, empat lagi RTC akan dibangunkan di Kedah, Johor, Sabah dan Sarawak.
- Kedua: Mewujudkan Dana Perkhidmatan Profesional bagi golongan profesional seperti peguam, doktor dan akauntan untuk membuka firma di pekan-pekan kecil. Bagi tujuan ini, dana berjumlah 100 juta ringgit akan disediakan oleh BSN secara pinjaman mudah dengan kadar faedah empat peratus. Di samping itu, surat cara perjanjian pembiayaan skim ini turut diberi pengecualian duti setem.
- Ketiga: Melaksanakan Program Lonjakan Mega Luar Bandar seluas 6,500 hektar di 11 kawasan Projek Agropolitan seluruh negara yang melibatkan tanaman komoditi, penanaman kontan dan ternakan ikan sangkar dengan peruntukan sebanyak 110 juta ringgit. Di samping itu, RISDA akan melaksanakan program tanaman baru getah dan penanaman semula getah serta kelapa sawit dengan peruntukan 140 juta ringgit yang akan memanfaatkan hampir 20,000 pekebun kecil.
48. Seterusnya, untuk memperkukuhkan pembangunan infrastruktur asas
luar bandar secara lebih komprehensif, peruntukan lima bilion ringgit
akan disediakan pada tahun 2012. Daripada jumlah tersebut, 1.8 bilion
ringgit bagi Program Jalan Luar Bandar dan Projek Jalan Perhubungan
Desa untuk membina 2,749 kilometer jaringan jalan raya yang membawa
manfaat kepada 1.76 juta penduduk luar bandar. Di samping itu, 2.1
bilion ringgit disediakan bagi memperluas liputan bekalan air bersih
kepada 200 ribu rumah serta 1.1 bilion ringgit lagi untuk bekalan
elektrik luar bandar kepada 39 ribu buah rumah, khususnya di Sabah dan
Sarawak.
49. Melihat kepada kejayaan pelaksanaan Projek Penyelenggaraan
Infrastrukur Awam (PIA) dan Projek Infrastruktur Asas (PIAS) dalam
menaiktaraf infrastruktur asas terutamanya di luar bandar, Kerajaan akan
memperuntukkan sejumlah 500 juta ringgit lagi demi melangsungkan
terus usaha mulia tersebut. Apa yang mustahak, pelaksanaan PIA dan
PIAS ini akan melibat penyertaan hampir 29,000 kontraktor Kelas F yang
berdaftar dengan Pusat Khidmat Kontraktor.
50. Kerajaan amat menitikberatkan bekalan air bersih khususnya kepada
masyarakat luar bandar termasuk di kawasan pedalaman Sabah dan
Sarawak. Walau bagaimanapun, tempoh pelaksanaan projek bekalan air
retikulasi ke pedalaman Sabah dan Sarawak mengambil masa yang lama.
Sebagai langkah segera, Kerajaan telah membekalkan 20 ribu tangki
menggunakan kaedah tadahan air hujan, untuk penduduk pedalaman Sarawak,
terutama penduduk rumah panjang yang melibatkan perbelanjaan 52 juta
ringgit. Kemudahan ini memberi faedah kepada hampir 100 ribu penduduk.
Bagi tahun 2012, program ini akan dipanjangkan pula kepada negeri
Sabah dengan peruntukan 50 juta ringgit.
51. Di kawasan FELDA pula, infrastruktur sistem bekalan air yang telah
beroperasi melebihi 50 tahun tidak lagi dapat beroperasi dengan baik
kerana kebanyakannya telah usang. Keadaan ini telah menyebabkan
berlakunya krisis kekurangan dan gangguan bekalan air yang kritikal di
sesetengah kawasan FELDA, terutamanya di Pahang, Kedah, Kelantan dan
Terengganu. Justeru, Kerajaan akan memperuntukkan 400 juta ringgit bagi
kerja-kerja menaik taraf infrastruktur bekalan air secara berperingkat
di kawasan-kawasan FELDA yang terpilih.
52. Sementara itu juga, Kerajaan menyedari masih terdapat estet yang
belum mempunyai kemudahan bekalan air bersih. Sebagai permulaan,
Kerajaan bersetuju menyediakan peruntukan 50 juta ringgit untuk menambah
baik kemudahan bekalan air yang melibatkan penyambungan dari estet ke
paip utama sedia ada. Kerajaan juga bersetuju supaya Pihak Berkuasa
Bekalan Air mengenakan tarif domestik kepada perumahan pekerja estet
berbanding dengan tarif industri yang dikenakan sekarang. Kementerian
Sumber Manusia akan dipertanggungjawab untuk menyelaras dan memantau
pelaksanaan kemudahan bekalan air ini.
53. Bagi meningkatkan lagi akses perkhidmatan perbankan kepada
penduduk luar bandar, BSN akan melantik agen-agen di kawasan luar bandar
di seluruh negara untuk menyediakan perkhidmatannya. Dalam tempoh
tiga tahun akan datang, BSN akan melantik sejumlah lima ribu agen. Di
peringkat permulaan, perkhidmatan yang disediakan meliputi transaksi
simpanan dan pengeluaran, pembayaran bil serta pembelian Sijil Simpanan
Premium. BSN akan menyediakan 50 juta ringgit bagi membiayai
pembangunan sistem, latihan kepada agen dan kos operasi.
54. Selain itu, saya amat maklum bahawa masyarakat luar bandar sering
menghadapi masalah perkhidmatan bas yang kurang memuaskan. Bagi
menyediakan kemudahan yang lebih selesa, boleh dipercaya dan berkualiti,
peruntukan tambahan 150 juta ringgit akan disalurkan kepada Tabung
Pembangunan Pengangkutan Awam di SME Bank. Dengan yang demikian,
pengusaha bas berhenti-henti, bas mini dan bas sekolah boleh memohon
pinjaman mudah dengan kadar faedah empat peratus untuk membeli atau
membaik pulih bas. Kemudahan pembiayaan ini akan disediakan mulai 1
Januari 2012.
55. Dalam pada itu, seperti yang terlukis pada gagasan mulia
1Malaysia, tidak ada mana-mana pihak, etnik atau kaum yang akan
dipinggirkan. Semuanya mempunyai saham dan hasil mahsul dalam cerita
kejayaan Malaysia. Begitulah dari masa ke semasa pula, pembangunan dan
kebajikan Orang Asli terus menjadi agenda penting Kerajaan. Pada waktu
ini, terdapat seramai 190 ribu Orang Asli di seluruh negara dengan
majoritinya tinggal di Pahang dan Perak. Bagi tahun 2012, Kerajaan akan
memperuntukkan 90 juta ringgit untuk penyediaan kemudahan asas
termasuk memperluaskan projek bekalan air terawat serta program
penjanaan pendapatan. Sememangnya, Kerajaan amat bersimpati dengan
bencana tanah runtuh yang berlaku di kawasan Sungai Ruil, Cameron Highlands
baru-baru ini. Untuk mempastikan keselamatan penduduk Orang Asli di
kawasan tersebut, Kerajaan dengan ini memperuntukkan 20 juta ringgit
bagi pemindahan penduduk ke kawasan perumahan baru.
FOKUS KEEMPAT: MEMPERKEJAP PERKHIDMATAN AWAM
56. Bajet 2012 akan memperkenalkan Sistem Saraan Baru Perkhidmatan
Awam atau SBPA yang akan menggantikan Sistem Saraan Malaysia atau SSM.
Sesungguhnya, SBPA digubal dengan matlamat mentransformasikan
Perkhidmatan Awam Malaysia supaya menjadi organisasi yang lebih dinamik,
responsif dan berorientasikan prestasi. SBPA akan memperkenalkan
prinsip perubahan radikal dalam pengambilan dan pengisian jawatan serta
pembangunan kerjaya dengan teras pengekalan atau penamatan
perkhidmatan penjawat awam berasaskan prestasi kerja. SBPA ini
mempunyai elemen-elemen berikut:
- Pertama: Mewujudkan Dasar Pemisah atau exit policy bagi penjawat awam yang berprestasi rendah dan mereka yang memilih untuk meninggalkan perkhidmatan.
- Kedua: Menambah baik struktur gaji penjawat awam melalui pembentukan gaji sebaris dengan mewujudkan lebih banyak mata gaji supaya penjawat awam terus mendapat kenaikan tahunan bagi tempoh yang lebih lama. Dengan itu, gaji maksimum bagi sesuatu gred adalah lebih tinggi daripada sekarang. Contohnya, jika di bawah SSM, bagi seorang guru pada gred DG48, gaji maksimum adalah 6,325 ringgit dan 39 sen, kelak, di bawah SBPA, gaji maksimum beliau akan meningkat 37.7 peratus kepada 8,710 ringgit. Bagi guru bukan siswazah pula, jika di bawah SSM kini, yang berada pada gred DG34, gaji maksimum adalah 3,860 ringgit dan 52 sen, kelak nanti, di bawah SBPA ia akan meningkat 39 peratus kepada 5,370 ringgit.
- Ketiga: Pada perutusan khas Hari Guru yang lalu, saya telah mengumumkan laluan kerjaya perkhidmatan perguruan siswazah yang lebih baik. Tidak perlu lagi seperti dulu, seorang guru terpaksa menunggu sehingga 20 tahun untuk naik pangkat, sebaliknya sekarang, dalam skim baru mengikut time-based, seorang guru akan mendapat gred 44 pada tahun ke-8 dan gred 48 pada tahun ke-16. Bagi guru bukan siswazah, dari gred 29 kepada 32, jika mengikut sistem time-based sekarang, ia memakan masa 10 tahun, namun, di bawah SBPA hanya mengambil tempoh lapan tahun sahaja. Seterusnya pula, bagi kenaikan gred 32 ke 34, jika sekarang ini bergantung pada kekosongan, tetapi di bawah SBPA kelak, kaedah time-based lapan tahun turut diterima pakai.
- Keempat: Kenaikan Gaji Tahunan tidak pernah disemak sejak 1991. Mulai tahun 2012, Kenaikan Gaji Tahunan penjawat awam akan ditingkatkan antara 80 hingga 320 ringgit mengikut gred. Di samping itu, bagi penjawat awam yang menerima opsyen ke SBPA, akan mendapat faedah kenaikan gaji, di antara 7 hingga 13 peratus.
57. Kerajaan sentiasa prihatin ke atas beban kewangan yang
ditanggung oleh pesara. Dengan pelaksanaan SBPA, lebih 600 ribu pesara
Kerajaan akan menikmati pelarasan pencen yang melibatkan peruntukan 600
juta ringgit. Mulai tahun 2013 nanti, Kerajaan akan melaksanakan
kenaikan tahunan pencen pesara sebanyak dua peratus setahun tanpa perlu
menunggu sebarang semakan sistem saraan atau pelarasan gaji.
58. Dunia yang semakin maju menyaksikan keterdepanan dalam teknologi
dan sains perubatan. Hari ini, kita adalah sebuah negara yang secara
relatifnya muda namun suka tidak suka, pada suatu masa nanti kita turut
akan menghadapi fenomena biasa yang berlaku kepada mana-mana negara
sedang meningkat maju dan maju. Antara elemennya, kadar kelahiran
berkurang, keluarga memilih untuk mempunyai bilangan anak yang lebih
kecil dan kadar penuaan meningkat. Lalu, adalah tidak ekonomikal
sifatnya dalam keadaan begini jika umur persaraan tidak dilanjutkan,
sedangkan harus barang diingat bahawa kerajaan akan menanggung kos
gratuiti dan pembayaran pencen.
59. Ternyata, penjawat awam yang berumur antara 55 tahun hingga 60
tahun masih boleh memberi sumbangan berdasarkan kemahiran dan pengalaman
mereka. Oleh itu, Kerajaan bersetuju untuk melanjutkan umur persaraan
wajib daripada 58 tahun kepada 60 tahun bagi mengoptimumkan sumbangan
pegawai perkhidmatan awam. Pelanjutan ini tidak akan menjejaskan
peluang pekerjaan kepada generasi muda kerana sektor awam dan swasta
akan terus mewujudkan peluang pekerjaan baru.
60. Kerajaan sentiasa berpegang kepada falsafah dan prinsip bahawa
usaha memperbaiki diri dan menambah ilmu di dada tidak berpenghujung
malah pembelajaran adalah satu proses sepanjang hayat. Untuk menjadi
pelaksana yang berkesan kepada dasar-dasar kerajaan, penjawat awam mesti
sentiasa melengkapkan diri dengan pengetahuan, mempunyai pemikiran
dinamik dan analitis.
61. Bagi maksud ini, Kerajaan akan menawarkan bantuan yuran pengajian
kepada penjawat awam untuk menyambung pengajian ke peringkat lebih
tinggi secara separuh masa. Pada tahun 2012, Kerajaan dengan kerjasama
IPTA akan menawarkan 5,000 peluang peringkat ijazah sarjana dan 500
lagi peringkat kedoktoran falsafah kepada penjawat awam yang layak,
termasuklah para guru dengan peruntukan sebanyak 120 juta ringgit.
Kita akan menawarkan 20,000 tempat kepada kumpulan guru diploma yang
ingin melanjutkan pengajian ke peringkat sarjana muda. Untuk tujuan
ini kerajaan akan memperuntukkan sejumlah 80 juta ringgit bagi tahun
pertama. Kita yakin, dengan pendekatan ini, para penjawat awam dan
para guru, secara keseluruhan perjalanan kerjaya mereka akan bertambah
baik dengan peluang kenaikan pangkat yang lebih cerah.
62. Salah satu daripada lapan Inisiatif Pembaharuan Strategik yang
telah dikenal pasti dalam mentransformasikan negara adalah
Penambahbaikan Kewangan Sektor Awam atau Public Finance Reform.
Inisiatif ini akan dapat meningkatkan keberkesanan dan ketelusan
pengurusan kewangan sektor awam. Selain itu, sistem pentadbiran cukai
yang cekap dan berkesan merupakan prasyarat untuk memperluaskan asas
cukai dan meningkatkan pematuhan oleh pembayar cukai. Langkah
penguatkuasaan akan dipertingkatkan dengan melaksanakan operasi
bersepadu bersama agensi berkaitan, di samping memperkukuhkan sistem ICT
agensi pengutip hasil.
63. Kerajaan juga tentunya menghargai khidmat dan jasa kakitangan yang
telah menamatkan kontrak dari Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA),
Kementerian Penerangan dan Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS),
Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) yang berjumlah
seramai 4,300 orang. Bagi membantu golongan ini meringankan kos sara
hidup, Kerajaan akan memberi bayaran khas sebanyak tiga ribu ringgit
secara one-off.
64. Lanjutan daripada ucapan saya sempena Hari Malaysia 16hb September
baru-baru ini, kita bakal menempa wajah baru landskap sosiopolitik
negara. Pemansuhan, pemindaan dan penggubalan kerangka perundangan
baru bagi mengimbangi antara kepentingan keselamatan negara dan
kebebasan individu akan memerlukan ‘Policing in a modern and open
society’. Falsafah kepolisian yang dibentuk dalam era insurgency dan
ketidaktentuan tidak lagi sesuai pada kontemporari ini. Kita mahu
integriti dan wibawa pihak polis kekal terjunjung tinggi. Bagi
merealisasikannya, kita memerlukan pasukan Polis yang moden dengan
latihan yang sesuai dengan era baru, menuil teknologi moden, kelengkapan
terkini dan cara penyiasatan dan pengumpulan bukti yang saintifik dan
canggih. Untuk ini, peruntukan khas 200 juta ringgit akan disediakan.
Manakala sejumlah 442 juta ringgit lagi akan diperuntukkan pada tahun
2012, untuk perbelanjaan pembangunan PDRM. Antara projek yang akan
dilaksanakan merangkumi projek perumahan anggota polis, penambahbaikan
ibu pejabat, balai dan pusat latihan.
65. Rakyat Malaysia turut insaf bahawa harga kita menikmati keamanan
dan kemakmuran bukannya percuma. Ia dibayar oleh mereka yang menyarung
seragam Angkatan Tentera Malaysia yang merupakan benteng pertahanan
utama negara. Sebagai kerajaan yang bertanggungjawab, sudah menjadi
tugas kita untuk sentiasa memelihara kebajikan mereka. Kebajikan anggota
tentera sentiasa menjadi perhatian Kerajaan bagi mempastikan anggota
tentera fokus dalam menjalankan tugas. Tempat tinggal dan suasana kem
yang selesa dapat menjadi pemangkin kepada prestasi kerja yang positif
di kalangan anggota. Untuk itu, Kerajaan akan memperuntukkan 500 juta
ringgit di bawah program Army Care untuk menaik taraf dan
menyelenggarakan kem dan kuarters tentera di seluruh negara.
66. Terdapat seramai 175 ribu anggota tentera yang menamatkan
perkhidmatan setelah berkhidmat kurang daripada 21 tahun dan tidak
menerima pencen. Akibatnya, mereka menghadapi kesukaran mendapatkan
pekerjaan untuk menampung kos sara hidup. Bagi meringankan beban
golongan ini, Kerajaan akan menyediakan program latihan khusus untuk
mereka yang sudah bersara tanpa pencen bagi menceburi bidang perniagaan
serta membantu mendapatkan pekerjaan dalam sektor awam dan swasta
kepada mereka yang layak. Untuk melaksanakan insentif ini, sebanyak 50
juta ringgit akan disediakan.
67. Sejarah negara penuh dengan cerita-cerita wira yang tidak di
dendang. Mereka yang apabila telah mendengar panggilan Pertiwi untuk
berkhidmat, telah menyahutnya tanpa berlengah. Ini termasuklah lebih
48,000 bekas anggota polis khas dan polis tambahan yang pernah
berkhidmat menjaga keselamatan negara semasa zaman darurat. Mereka
terdiri daripada anggota Home Guard, Special Constable, Extra Police
Constable, Auxilliary Police, Women Auxilliary Police, Women Special
Constable, Border Scout dan Jungle Scout.
68. Kerajaan Barisan Nasional
adalah kerajaan yang mengenang budi. Kita tidak akan membiarkan
wirawan dan wirawati tanpa pembelaan yang sewajarnya. Kita tidak
sekali-kali seperti setengah pihak yang menafi dan memperlekehkan jasa
bakti mereka. Sesungguhnya, keringat dan air mata mereka serta
keluarga yang membasahi bumi bertuah ini akan terus malar dan segar
dalam sanubari dan ingatan setiap rakyat Malaysia. Sebagai mengenang
jasa bakti mereka, Kerajaan akan memberi sumbangan sebanyak tiga ribu
ringgit secara one-off kepada setiap bekas anggota serta duda dan balu
mereka yang kesemuanya berjumlah hampir 62,000 orang. Sumbangan ini
sedikit sebanyak diharapkan dapat membantu meringankan kos sara hidup.
FOKUS KELIMA: MEREDAKAN INFLASI DAN MENGIMARAH KEHIDUPAN RAKYAT
69. Kerajaan mendengar rintihan rakyat tentang kenaikan harga barang
terutamanya bahan makanan. Bagi menangani fenomena ini, Kerajaan akan
mengambil langkah-langkah yang bersepadu bersifat jangka pendek,
sederhana dan panjang. Antaranya meningkatkan pengeluaran makanan
seperti beras, daging, sayur-sayuran dan buah-buahan melalui langkah
berikut:
- Pertama: Melancarkan Dasar Agro Makanan Negara 2011 hingga 2020 yang menggariskan empat strategi iaitu menjamin bekalan makanan mencukupi, meningkatkan nilai ditambah, melengkapkan dan memperkukuhkan rantaian bekalan serta menyediakan guna tenaga pertanian berpengetahuan dan terlatih.
- Kedua: Memperuntukkan 1.1 bilion ringgit pada 2012 bagi pembangunan sektor pertanian. Antara projek utama adalah Projek Pertanian Bersepadu Terengganu Utara, Projek Pengairan Sabah dan Sarawak, Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga atau TEKUN dan projek-projek lain di bawah NKEA.
- Ketiga: Memperluaskan skop pembiayaan Dana Pertanian Komersial kepada projek pertanian berinovasi. Dengan ikhtiar ini, jumlah dan pendapatan usahawan tani dapat dipertingkatkan. Peruntukan 300 juta ringgit akan disediakan.
- Keempat: Memperbanyakkan program ladang kontrak bagi mempastikan bekalan produk makanan mencukupi. Program ini akan dikendalikan oleh FAMA di mana hasil keluaran akan dipasarkan terus ke pasar tani seluruh negara. Seramai 4,500 usahawan tani akan terlibat dengan keluasan tanah 7,000 hektar. Untuk tujuan ini, peruntukan 14 juta ringgit disediakan.
70. Kita kini mendengar pihak-pihak tertentu menguar-uarkan konsep
negara berkebajikan. Kita ucapkan tahniah kepada mereka kerana baru
sedar terhadap konsep negara kebajikan ini. Namun, kita minta mereka ada
sedikit rasa keikhlasan politik, janganlah berlagak seolah-olah
merekalah orang pertama yang menemui formula ini. Bukankah Kerajaan
Barisan Nasional sudah sejak sekian lama mengamalkan konsep negara
berkebajikan? Tidakkah berkebajikan kerajaan Barisan Nasional kini,
apabila:
- Pertama: Bagi setiap kilogram beras super tempatan, harga asal 2 ringgit 40 sen, rakyat hanya bayar 1 ringgit 80 sen. Subsidi Kerajaan berjumlah 60 sen atau 25 peratus dari harga sebenar.
- Kedua: Bagi setiap kilogram gula, harga asal 2 ringgit 50 sen, rakyat hanya bayar 2 ringgit 30 sen. Subsidi Kerajaan berjumlah 20 sen atau 8 peratus dari harga sebenar.
- Ketiga: Bagi setiap kilogram minyak masak, harga asal 4 ringgit 75 sen, rakyat hanya bayar 2 ringgit 50 sen. Subsidi Kerajaan berjumlah 2 ringgit 25 sen atau 47 peratus dari harga sebenar.
- Keempat: Bagi setiap kilogram tepung gandum, harga asal 1 ringgit 90 sen, rakyat hanya bayar 1 ringgit 35 sen. Subsidi Kerajaan berjumlah 55 sen atau 29 peratus dari harga sebenar.
Kesimpulannya, keseluruhan subsidi bahan makanan asas ini menelan
belanja 2.3 bilion ringgit dan dinikmati oleh seluruh rakyat Malaysia
tanpa mengira kaya atau miskin, bandar atau luar bandar. Oleh yang
demikian itu, kita ingin bertanya, tidakkah ini dinamakan negara
kebajikan?
71. Tidak cukup sekadar itu, subsidi Kerajaan bukan terhad hanya
kepada bahan makanan asas sahaja, ia juga merangkumi subsidi produk
petroleum dan bantuan tunai yang melibatkan sebanyak 17 bilion ringgit.
Ini meliputi:
- Pertama: Bagi setiap liter petrol RON95, harga asal 2 ringgit 75 sen, rakyat hanya bayar 1 ringgit 90 sen. Subsidi Kerajaan berjumlah 85 sen atau 31 peratus dari harga sebenar.
- Kedua: Bagi setiap liter diesel, harga asal 2 ringgit 66 sen, rakyat hanya bayar 1 ringgit 80 sen. Subsidi Kerajaan berjumlah 86 sen atau 32 peratus dari harga sebenar.
- Ketiga: Bagi setiap tong 14 kilogram gas memasak, harga asal 48 ringgit 2 sen, rakyat hanya bayar 26 ringgit 60 sen. Subsidi Kerajaan berjumlah 21 ringgit 42 sen atau 45 peratus dari harga sebenar.
72. Selain itu, Kerajaan juga akan meneruskan pemberian subsidi bil
elektrik berjumlah 20 ringgit sebulan dan ke bawah yang telah
dilaksanakan sejak 2009. Pemberian subsidi ini melibatkan peruntukan 150
juta ringgit dan seramai 1 juta isi rumah akan mendapat manfaat.
Untuk makluman, segala subsidi, insentif dan bantuan ini berjumlah
33.2 bilion ringgit. Semuanya dengan semangat Rakyat Didahulukan.
73. Bagi tahun 2012, Kerajaan akan menyediakan 1.2 bilion ringgit
untuk program Kebajikan Rakyat 1Malaysia atau KAR1SMA yang merangkumi
bantuan kepada warga emas miskin sebanyak 300 ringgit sebulan; bantuan
kanak-kanak miskin 100 ringgit sebulan, dengan had maksimum 450 ringgit
sebulan serta bantuan dan elaun kepada Orang Kurang Upaya (OKU)
antara 150 hingga 300 ringgit sebulan. KAR1SMA akan memberi manfaat
kepada hampir 500 ribu rakyat dalam membantu meringankan beban sara
hidup.
74. Selanjutnya, Kerajaan juga akan mengambil langkah bagi membendung
kenaikan kos dan harga serta membantu mengurangkan beban rakyat
seperti berikut:
- Pertama: Menambah bilangan Kedai Rakyat 1Malaysia ke seluruh negara. KR1M menawarkan 250 jenis produk berjenama 1Malaysia meliputi keperluan harian pengguna pada harga sehingga 40 peratus lebih rendah. Memandangkan sambutan yang amat menggalakkan, Kerajaan juga bercadang membuka 85 unit tambahan sehingga akhir 2012 dengan peruntukan 40 juta ringgit.
- Kedua: Membuka 30 unit Agro Bazaar Kedai Rakyat di seluruh negara bagi memasarkan produk pertanian dan barangan berjenama 1Malaysia. Di samping itu, Kerajaan akan memperluaskan penjualan produk 1Malaysia di semua kedai di bawah Program Transformasi Kedai Runcit (TUKAR), kedai FELDA dan kedai serbaneka stesen minyak seluruh negara.
- Ketiga: Memperluas dan mempromosi Menu Rakyat 1Malaysia yang menawarkan pakej menu makanan popular pada harga yang berpatutan iaitu maksimum dua ringgit bagi sarapan pagi dan empat ringgit bagi makan tengah hari. Sehingga kini, lebih 700 pengusaha telah mengambil bahagian dan dijangka diperluaskan kepada 3,000 pengusaha pada akhir 2012. Untuk mengembangkan lagi langkah ini, Kerajaan menggalakkan semua pengusaha kafeteria di pejabat Kerajaan dan swasta melaksanakan inisiatif Menu Rakyat 1Malaysia.
75. Bagi memenuhi permintaan rumah golongan berpendapatan kurang
daripada 3,000 ringgit, Kerajaan telah melancarkan Skim Rumah Pertamaku
pada Mac 2011. Untuk menambah baik skim ini, Kerajaan mencadangkan had
maksimum harga rumah dinaikkan daripada 220 ribu kepada 400 ribu
ringgit. Penambahbaikan ini boleh dinikmati oleh pembeli rumah melalui
pinjaman bersama suami isteri bermula Januari 2012.
76. Bagi membantu pembeli mencapai impian mereka memiliki rumah
pertama, pihak kerajaan telah menubuhkan Perumahan Rakyat 1Malaysia atau
PR1MA sebagai satu agensi tunggal yang berperanan untuk membangun dan
menyelenggarakan perumahan mampu milik berkualiti khusus untuk
memenuhi keperluan golongan berpendapatan sederhana. PR1MA akan
berperanan sebagai pemaju untuk projek yang diadakan di tapak
pemilikan Kerajaan. Justeru, Kerajaan bercadang untuk memajukan
beberapa bidang tanah pemilikan Kerajaan di sekitar Sungai Besi dan
Sungai Buloh untuk projek sedemikian. Kerajaan juga akan mengenalpasti
kawasan-kawasan berhampiran stesen MRT, LRT atau pengangkutan awam
sebagai kawasan pilihan utama untuk dimajukan oleh PR1MA.
77. Di samping itu, PR1MA juga mengalu-alukan kerjasama antara pihak
swasta untuk membangunkan projek-projek sedemikian. Sehubungan dengan
itu, beberapa pemaju swasta juga telah menyahut seruan Kerajaan untuk
menyediakan rumah mampu milik berkualiti. PR1MA akan memainkan peranan
supaya proses pengagihan untuk projek-projek ini dijalankan secara
telus dan adil melalui sistem pengundian terbuka. Pada tahun 2011,
sebanyak 1,880 unit rumah akan mula dibina di Putrajaya dan Bandar Tun
Razak.
78. Bagi tahun 2012 pula, 7,700 unit rumah akan dibina di Cyberjaya,
Putra Heights, Seremban, Damansara dan Bukit Raja. Harga rumah yang
ditawarkan di bawah skim ini lebih rendah berbanding dengan harga
pasaran disebabkan tanah dan dana mudahcara disediakan kepada pemaju.
Sebagai contoh, satu unit apartmen dengan keluasan 1,000 kaki persegi di
Putrajaya dijual pada harga 150 ribu ringgit berbanding harga pasaran
220 ribu ringgit. Kerajaan juga akan memberi pengecualian sepenuhnya
duti setem ke atas surat cara perjanjian pinjaman di bawah program
ini.
79. Pada kebiasaannya, rumah dijual sebelum pembinaan bermula di mana
pembeli akan menanggung risiko sekiranya rumah tidak siap atau lewat
disiapkan. Bagi melindungi pembeli, Kerajaan menggalakkan lebih banyak
pembinaan rumah menggunakan kaedah bina kemudian jual. Untuk tujuan
ini, bank-bank Islam yang telah bersetuju akan menyediakan pembiayaan
patuh syariah dan mengambil risiko pembinaan. Pembeli hanya membayar
ansuran setelah rumah siap dibina. Skim ini akan dilaksanakan bagi
rumah bernilai 600 ribu ringgit dan ke bawah.
80. Masih ramai lagi rakyat yang belum memiliki rumah, terutamanya
golongan berpendapatan rendah. Justeru, Kerajaan akan meneruskan
pelaksanaan Program Perumahan Rakyat (PPR) di seluruh negara dengan
membina lebih 75 ribu unit rumah mampu milik di bawah RMKe-10. Bagi
tahun 2012, 443 juta ringgit di peruntukan bagi membina hampir 8,000
unit PPR disewa dan lebih 7,000 unit PPR dimiliki.
81. Selain itu, Program Rumah Mesra Rakyat yang dikendalikan oleh
Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) akan diteruskan bagi membantu
golongan berpendapatan rendah memiliki rumah lebih selesa. Di bawah
program ini, mereka yang mempunyai tanah persendirian dan tidak memiliki
rumah atau tinggal di rumah usang, boleh mendapatkan pembiayaan untuk
membina rumah sendiri. SPNB akan diberikan peruntukan tambahan untuk
membina 10 ribu unit Rumah Mesra Rakyat pada tahun 2012. Kos rumah
yang berharga 65 ribu ringgit ini, akan dijual dengan harga 45 ribu
ringgit sahaja. Di sini, bagi setiap unit rumah, Kerajaan akan memberi
subsidi sejumlah 20 ribu ringgit. Sebanyak 200 juta ringgit akan
diperuntukkan untuk program ini.
82. Selain itu, melalui Program Pemulihan Rumah Terbengkalai, Kerajaan
berjaya memulihkan dan mendapat Sijil Layak Menduduki (CF) bagi 82
projek yang melibatkan lebih 15,000 unit rumah. Kerajaan akan terus
melaksanakan usaha murni ini pada tahun 2012 dengan peruntukan 63 juta
ringgit untuk memulihkan 1,270 unit rumah terbengkalai. Kerajaan juga
memperuntukkan 40 juta ringgit bagi membaik pulih dan menyelenggarakan
rumah kos rendah awam dan swasta.
83. Golongan ekspatriat turut menyumbang kepada pembangunan ekonomi
negara. Jumlah ekspatriat yang bekerja di Malaysia telah meningkat
kepada lebih kurang 41 ribu orang. Untuk menyediakan suasana kondusif
bagi menggalakkan ekspatriat terus berkhidmat di Malaysia, Kerajaan akan
membenarkan golongan ini mengeluarkan caruman KWSP untuk pembiayaan
pinjaman perumahan, sama seperti kemudahan yang diberi kepada
warganegara.
84. Kepada para nelayan, Kerajaan bersimpati dengan kesukaran yang
dihadapi mereka ini yang tiada pendapatan tetap dan bergantung
semata-mata kepada hasil tangkapan. Kita maklum bahawa, kebanyakan
nelayan memiliki rumah yang daif dan kurang selesa. Sehubungan itu,
Kerajaan akan mewujudkan Tabung Khas Perumahan Nelayan dengan peruntukan
300 juta ringgit untuk membina dan membaik pulih rumah mereka agar
menjadi lebih selesa dengan prasarana asas.
85. Kerajaan akan terus menyediakan perkhidmatan kesihatan terbaik
untuk rakyat, terutamanya rawatan berkualiti, peralatan terkini serta
persekitaran lebih selesa. Bagi tahun 2012, sektor perkhidmatan
kesihatan akan diperuntukkan 15 bilion ringgit untuk perbelanjaan
mengurus dan 1.8 bilion ringgit bagi perbelanjaan pembangunan. Ini
melibatkan antaranya pembinaan dan menaik taraf hospital termasuk di
Bera, Kuala Krai, Dungun, Sri Aman dan Tuaran serta menambah baik blok
bersalin di Hospital Putrajaya. Kerajaan juga akan menambah baik 81
klinik kesihatan luar bandar di seluruh negara dan membuka 50 klinik
1Malaysia.
86. Kerajaan amat prihatin dengan keselesaan rakyat terbanyak. Untuk
itu, Hentian Pudu Raya yang digunakan oleh hampir 80,000 pengguna pada
satu-satu masa, yang dahulunya dalam keadaan daif dan kotor, telah
dinaiktaraf dengan belanja sebanyak 40 juta ringgit. Kini, Hentian Pudu
Raya telah berwajah baru dan dinamakan semula sebagai Pudu Sentral.
87. Langkah yang sama akan diambil untuk menambah baik Hospital Kuala
Lumpur (HKL) yang merupakan nadi perkhidmatan kesihatan di kota dan
dikunjungi hampir 3,000 pesakit luar setiap hari. Demi keselesaan
warga kota, hospital yang berusia 141 tahun dan merupakan hospital
tertua di Malaysia ini akan dinaiktaraf supaya menjadi sebuah hospital
primer negara dilengkapi dengan peralatan terkini dan canggih dengan
peruntukan 300 juta ringgit. Dari peruntukan ini, 50 juta ringgit akan
digunakan untuk membina sebuah sayap baru HKL khusus untuk rawatan
pesakit luar.
88. Kerajaan juga memahami beban kerja pegawai perubatan di mana
mereka bertugas berterusan melebihi 45 hingga 120 jam seminggu. Situasi
ini sememangnya tidak kondusif untuk mereka memberi rawatan
berkualiti. Oleh yang demikian, Kerajaan telah memperkenalkan jadual
kerja luwes atau fleksi Pegawai Perubatan Siswazah, di mana waktu
kerja di jadual semula kepada purata 60 jam seminggu. Bagi
menggantikan Elaun Luar Waktu Bekerja Biasa, Kerajaan memperkenalkan
Elaun Khas Waktu Bekerja Fleksi sebanyak 600 ringgit sebulan berkuat
kuasa 1 September 2011. Bagi pakar dan pegawai perubatan, Kerajaan
juga bersetuju menaikkan elaun on-call semalaman antara 30 hingga 80
ringgit berkuat kuasa pada tarikh yang sama.
89. Untuk menambah pendapatan boleh guna dan menggalakkan minat
melabur di kalangan golongan berpendapatan rendah, Kerajaan akan
memperkenalkan Skim Amanah Rakyat 1Malaysia atau SARA 1Malaysia yang
amat bitara atau istimewa. Skim ini dibuka kepada isi rumah
berpendapatan bulanan 3,000 ringgit dan ke bawah yang akan memanfaatkan
100 ribu isi rumah. Pelabur SARA 1Malaysia boleh memohon pinjaman
5,000 ringgit dengan tempoh bayaran balik lima tahun. Pada akhir
tempoh lima tahun, pelabur dijangka mendapat pulangan bersih yang
menarik. Skim ini akan dikendalikan oleh Permodalan Nasional Berhad
dengan kerjasama institusi kewangan terpilih mulai Januari 2012.
90. Bagi mempastikan masyarakat Bumiputera bergerak seiring dengan
perkembangan ekonomi, Kerajaan telah menubuhkan Unit Peneraju Agenda
Bumiputera (TERAJU) untuk menyelaras dan memacu transformasi serta
memperkukuhkan penyertaan masyarakat Bumiputera dalam perniagaan. Untuk
ini, TERAJU akan membimbing secara berperingkat hampir 1,100 syarikat
Bumiputera yang berprestasi tinggi dan berpotensi untuk disenaraikan
di bursa saham. Di samping itu, MARA akan menyediakan pembiayaan modal
kepada warga syarikat korporat yang berkelayakan untuk pembelian
ekuiti serta pengambilalihan syarikat berasaskan konsep Management
Buyout.
91. Pembangunan usahawan merupakan faktor terpenting bagi melonjak
aktiviti ekonomi Bumiputera. Selaras dengan itu, program pembangunan
usahawan yang bersepadu akan dilaksana bagi meningkatkan daya saing dan
daya maju usahawan Bumiputera termasuk masyarakat luar bandar.
Justeru, Kerajaan akan memperuntukkan 200 juta ringgit bagi program
pembangunan usahawan dan kontraktor Bumiputera di bawah Kementerian
Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.
92. Pada perspektif lain, Kerajaan sentiasa peka dan mengambil berat
beban yang ditanggung oleh pemilik teksi bajet persendirian akibat kos
operasi yang meningkat. Tambahan pula, sebahagian besar teksi yang
dimiliki telah melebihi jangka hayat ekonomi. Selain menjaga kebajikan
serta menambah baik perkhidmatan teksi, Kerajaan mencadangkan pemilik
teksi bajet persendirian diberi bantuan seperti berikut:
- Pertama: Pengecualian 100 peratus duti eksais dan cukai jualan ke atas pembelian teksi baru buatan tempatan.
- Kedua: Pengecualian bayaran balik duti eksais dan cukai jualan ke atas teksi yang berusia lebih dari tujuh tahun yang dijual atau ditukar milik.
- Ketiga: Memansuhkan cukai jalan ke atas teksi bajet milikpersendirian.
- Keempat: Pemberian subsidi kadar faedah dua peratus ke atas pinjaman penuh untuk memiliki teksi baru buatan tempatan. Skim pinjaman ini yang diuruskan oleh BSN akan ditawarkan untuk tempoh dua tahun bermula 1 Januari 2012.
- Kelima: Pemberian bantuan 3,000 ringgit bagi melupuskan teksi lama yang berusia melebihi tujuh tahun tetapi kurang daripada 10 tahun. Bagi teksi yang berusia 10 tahun dan ke atas, bantuan 1,000 ringgit akan diberikan. Bantuan ini ditawarkan bagi pembelian kereta baru buatan tempatan untuk tempoh dua tahun mulai 1 Januari 2012.
93. Kerajaan berharap dengan pemberian bantuan ini, pemandu teksi
dapat memberi perkhidmatan lebih berkualiti, mesra pelanggan dan sekali
gus menaikkan imej negara yang mesra pelancong. Bagi kesemua bantuan
di atas, setiap pemilik teksi bajet persendirian dijangka mendapat
manfaat kira-kira 7,560 ringgit. Pemberian bantuan kepada pemilik teksi
bajet ini juga dipanjangkan kepada pemilik kereta sewa persendirian.
94. Kerajaan komited untuk mempastikan bahawa tidak ada orang yang
dituduh atas kesalahan jenayah ternafi haknya untuk di guami. Pada kala
ini, dianggarkan 80 peratus Orang Kena Tuduh dalam kes jenayah yang
tidak mempunyai peguam untuk membela mereka kerana tidak berkemampuan
bagi membayar fi guaman yang tinggi. Untuk ini, Yayasan Bantuan Guaman
Kebangsaan akan mempastikan setiap individu yang didakwa di mahkamah
akan diberi bantuan guaman secara percuma. Bagi maksud tersebut,
Kerajaan akan menambah 10 juta ringgit lagi kepada yayasan pada tahun
hadapan membawa jumlah keseluruhan sebanyak 15 juta ringgit.
95. Bagi mempastikan kebajikan rakyat terus terbela, Kerajaan telah
menyediakan pusat khidmat bantuan sosial yang dikenali sebagai Anjung
Singgah untuk memberi perlindungan sementara golongan gelandangan. Pusat
ini menyediakan khidmat bantuan pekerjaan, kemudahan tempat tinggal
dan makanan, kaunseling serta bantuan kebajikan. Pada masa ini,
terdapat hampir 1,400 orang gelandangan di Kuala Lumpur yang mendaftar
dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat dan daripada jumlah tersebut, 250
orang telah mendaftar dengan Anjung Singgah. Program ini akan
diperluaskan ke Johor, Pulau Pinang dan Sarawak.
96. Kerajaan sentiasa mengiktiraf keupayaan wanita dalam bidang
kepimpinan dan pengurusan. Sehubungan itu, Kerajaan telah meluluskan
Dasar Sekurang-kurangnya 30 Peratus Wanita di Peringkat Pembuat
Keputusan Dalam Sektor Korporat. Bagi melaksanakan dasar tersebut,
antara yang utama, Kerajaan akan menjalankan program latihan bagi wanita
yang berpotensi menjadi ahli lembaga pengarah syarikat, membangunkan
pangkalan data wanita berpotensi untuk diketengahkan sebagai pengarah
syarikat dan mempergiatkan aktiviti advokasi. Bagi menarik golongan
profesional wanita untuk kembali ke pasaran pekerjaan, Kerajaan juga
akan menyediakan program latihan yang bersesuaian. Bagi melaksanakan
program-program latihan ini, Kerajaan akan menyediakan peruntukan 10
juta ringgit.
97. Pada tahun 2011, Kerajaan telah memperuntukkan 120 juta ringgit
kepada TEKUN. Bagi memberi rangsangan kepada usahawan kecil, saya
mencadangkan peruntukan ini ditambah lebih sekali ganda lagi kepada 300
juta ringgit. Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) juga akan menyediakan 2.1
bilion ringgit untuk pembiayaan pinjaman mikro kepada usahawan
terutamanya wanita. Daripada jumlah tersebut, 100 juta ringgit
disediakan untuk usahawan kaum India dan 100 juta ringgit lagi kepada
usahawan kaum Cina melalui satu unit khas di bawah AIM. Untuk
mengurangkan kos pengendalian peniaga dan usahawan mikro, Kerajaan
mencadangkan surat cara perjanjian pembiayaan mikro kredit diberi
pengecualian duti setem.
98. Pada masa ini, barah pangkal rahim (kanser servik) merupakan barah
kedua tertinggi di kalangan wanita Malaysia. Kemajuan dalam sains
perubatan telah membolehkan penyakit ini boleh dicegah melalui suntikan
imunisasi. Kementerian Pelajaran Malaysia dengan kerjasama Kementerian
Kesihatan Malaysia telah melaksanakan suntikan imunisasi secara
percuma kepada murid perempuan tingkatan satu di semua sekolah
Kerajaan, bantuan Kerajaan, swasta dan antarabangsa mulai bulan April
hingga Mei 2010.
99. Bagi membolehkan lebih ramai wanita untuk mendapatkan kemudahan
imunisasi, Kerajaan akan menyediakan perkhidmatan suntikan percuma
imunisasi HPV (Human Papilloma Virus) yang akan dilaksanakan oleh
Lembaga Pembangunan Perancang Keluarga Negara di seluruh negara. Kos
imunisasi ini adalah 150 ringgit bagi tiga suntikan. Untuk tujuan ini,
peruntukan 50 juta ringgit akan disediakan pada tahun 2012.
100. Di samping itu, untuk menjamin kesihatan para ibu dan anak, maka
sebuah hospital khusus untuk kaum wanita dan kanak-kanak akan dibina
di Kuala Lumpur melalui perkongsian awam swasta dengan kos 700 juta
ringgit.
101. Golongan belia adalah generasi yang menyumbang dan merealisasi
wawasan negara. Generasi muda perlu diperlengkap dengan latihan dan
kemahiran bagi mempastikan peranan mereka dalam pembangunan negara.
Untuk ini, Kerajaan akan memperuntukkan 320 juta ringgit bagi
menjalankan pelbagai aktiviti termasuk latihan kemahiran, program
kepimpinan, daya tahan dan keusahawanan di peringkat daerah dan negeri
termasuk sumbangan kepada Majlis Belia Malaysia, Majlis Belia Negeri
dan Majlis Belia Daerah.
102. Apa yang diusahakan pada hari ini bukanlah untuk kita. Akan
tetapi, demi masa depan anak-anak kita. Potensi setiap golongan ini
mestilah digembleng dan dioptimumkan, idealisme mereka mesti digilap,
kreativiti mesti dipupuk dan bakat mereka dibajai untuk terus berkarya.
Pujangga berpesan agar mendidik anak-anak sesuai dengan zaman mereka.
Kalau kita dahulu ingin dilayan sesuai kehendak kita sebagai orang
muda, begitu juga anak-anak zaman sekarang.
103. Selaras dengan itu, Kerajaan juga sedar kekangan institusi yang
ada kini dalam mengeluarkan bantuan kepada idea-idea kreatif. Kita
perlu bertanya, jika dengan struktur pembiayaan sedia ada yang kaku dan
tegar, adakah idea orang-orang seperti Bill Gates, mendiang Steve
Jobs, Michael Dell, adik-beradik Wrights, Thomas Edison boleh berjaya?
Lantaran, berapa banyak idea dan karya telah dibakul sampahkan yang
berkemungkinan bernilai berbilion-bilion ringgit. Bertolak dari situ,
Kerajaan prihatin terhadap suara dan nurani orang muda. Sebagai projek
perintis, kita bersetuju untuk menubuhkan sebuah syarikat modal teroka
milik Kerajaan yang bernama MyCreative Venture Capital dengan dana
permulaan 200 juta ringgit.
104. Manakala sebanyak 200 juta ringgit lagi akan disediakan untuk
latihan dan kemahiran belia yang tidak meneruskan pengajian persekolahan
melalui Program Strategik untuk Belia 1Malaysia atau Strategic Action
for Youth atau SAY 1Malaysia. Skim ini akan menyediakan pelbagai
jenis latihan kemahiran yang dikendalikan oleh institusi sedia ada
seperti Kolej Komuniti, Institut Kemahiran Mara, Institut Latihan
Perindustrian dan Giat Mara. Semasa latihan, pelatih akan diberi
latihan praktikal di GLC dan syarikat swasta supaya mereka mudah
mendapat pekerjaan.
105. Pada masa ini, futsal semakin popular di kalangan belia dan
peminat sukan. Bagi menggalakkan aktiviti sukan ini, Kerajaan telah siap
membina 1,100 gelanggang futsal di seluruh negara, manakala 527 lagi
sedang dalam pembinaan. Memandangkan populariti sukan tersebut,
Kerajaan akan menyediakan peruntukan 15 juta ringgit bagi membina 150
gelanggang futsal tambahan agar matlamat Satu Gelanggang Satu Mukim
dapat dicapai. Bagi meningkatkan aktiviti riadah terutama sukan bola
sepak, Kerajaan akan memperuntukkan 50 juta ringgit bagi menyediakan
kemudahan padang tiruan atau artificial turf yang dilengkapi dengan
lampu limpah di 30 lokasi terpilih seluruh negara.
106. Program sukan berprestasi tinggi termasuk bola sepak, badminton,
skuasy, boling tenpin, acara terjun, memanah dan lumba basikal akan
juga diberi tumpuan. Untuk ini, Kerajaan akan menyediakan peruntukan
tambahan 30 juta ringgit menjadikan keseluruhan peruntukan 84 juta
ringgit bagi program mengasah bakat atlet muda supaya mereka dapat
bersaing dan berjaya dalam kejohanan sukan di peringkat antarabangsa.
107. Tidak pernah dilupakan adalah kebajikan warga emas terutamanya
untuk mereka mendapatkan kemudahan awam seperti perkhidmatan kesihatan
dan pengangkutan. Sukacita saya mengumumkan, mulai 1 Januari 2012,
semua warganegara berumur 60 tahun dan ke atas akan dikecualikan caj
pendaftaran pesakit luar di semua hospital dan klinik kesihatan
termasuk klinik 1Malaysia serta pergigian milik Kerajaan. Mereka juga
akan diberi diskaun 50 peratus tambang LRT dan Monorel.
108. Dalam Bajet 2011, bagi mempastikan pekerja swasta dan mereka yang
bekerja sendiri mempunyai simpanan mencukupi semasa bersara, saya
telah mengumumkan pelepasan cukai sehingga 6 ribu ringgit untuk caruman
kepada KWSP dan insurans hayat diperluaskan bagi meliputi caruman
kepada Dana Pencen Swasta, kini dikenali sebagai Skim Persaraan Swasta.
Bagi terus menjamin kesejahteraan rakyat di usia persaraan di samping
mempromosi skim persaraan swasta yang dijangka dapat merancakkan
pembangunan pasaran modal, saya mencadangkan:
- Pertama: Pelepasan cukai baru sehingga 3 ribu ringgit ke atas caruman dalam Skim Persaraan Swasta dan anuiti insurans selama 10 tahun. Dengan ini, pelepasan cukai sedia ada ke atas Skim Persaraan Swasta dan anuiti insurans dirasionalkan.
- Kedua: Potongan cukai ke atas caruman majikan bagi pekerja dalam Skim Persaraan Swasta.
- Ketiga: Pengecualian cukai ke atas pendapatan dana Skim Persaraan Swasta.
109. Kini pesara menghadapi kekurangan simpanan untuk menampung kos
saraan hidup setelah bersara. Kajian menunjukkan hampir 70 peratus
menghabiskan kesemua simpanan mereka dalam tempoh 10 tahun selepas
bersara. Bagi meningkatkan simpanan untuk hari tua, Kerajaan
mencadangkan supaya caruman majikan dinaikkan daripada 12 peratus kepada
13 peratus bagi pencarum yang menerima gaji bulanan 5,000 ringgit dan
ke bawah. Langkah ini akan memanfaatkan seramai 5.3 juta pencarum
KWSP.
110. Ada juga pihak yang sentiasa memfitnah Kerajaan bahawa Kerajaan
hanya berminat dengan projek mega yang bernilai berbilion-bilion.
Sesungguhnya tuduhan ini amatlah memesongkan. Bukankah tercatat dalam
lipatan sejarah bahawa Kerajaan Perikatanlah yang bertanggungjawab
menubuhkan Kementerian Pembangunan Negara dan Luar Bandar lebih 50 tahun
yang lalu dan mempelopori pembangunan secara sistematik? Sebagai
kesinambungan tradisi mulia ini, Kerajaan akan memberi nafas baru kepada
kawasan pedalaman luar bandar termasuk kampung tradisional, rumah
panjang dan kampung baru. Melalui Program Transformasi Luar Bandar atau
RTP, Kerajaan akan memperuntukkan sebanyak satu bilion ringgit untuk
membina dan menaiktaraf kemudahan seperti balai raya, surau, parit,
jambatan kecil, lampu jalan termasuk memperbaiki rumah yang usang.
Inisiatif ini akan dilaksanakan dan diselaraskan oleh Unit Penyelarasan
Pelaksanaan.
111. Air bah atau banjir merupakan bencana utama negara dan setiap
tahun Kerajaan membelanjakan satu bilion ringgit bagi menampung kos
kerugian dalam pelbagai aspek kehidupan. Pada masa ini, terdapat 4 juta
penduduk yang masih tinggal di kawasan berisiko banjir. Sebagai
tindakan awal, Kerajaan akan melaksanakan Rancangan Tebatan Banjir
(RTB) di Perlis, Perak dan Johor dengan kos satu bilion ringgit. Di
Perlis, dua projek RTB iaitu naik taraf empangan Timah Tasoh Fasa 2 dan
melebar serta mendalam Sungai Arau akan dilaksanakan. Di Perak, tiga
projek RTB di Sungai Kerian, Sungai Kurau dan Kolam Bukit Merah.
Manakala bagi Johor, projek RTB akan dilaksanakan di bandar dan Sungai
Segamat.
112. Dalam usaha untuk terus meringankan belanja seharian rakyat
termasuklah dalam menyekolahkan anak-anak, Kerajaan bercadang membuat
pemberian tunai secara one-off atau sekali sahaja seperti berikut:
- Pertama: Bantuan sebanyak 500 ringgit kepada isi rumah berpendapatan bulanan 3,000 ringgit dan ke bawah. Langkah yang julung kali diambil ini membuktikan keprihatinan Kerajaan terhadap golongan berpendapatan rendah akibat kenaikan kos sara hidup. Seramai 3.4 juta isi rumah atau 53 peratus daripada jumlah keseluruhan isi rumah dijangka mendapat manfaat daripada bantuan ini. Pemberian ini melibatkan peruntukan sebanyak 1.8 bilion ringgit. Untuk menerima bantuan ini, ketua isi rumah yang layak hendaklah berdaftar dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri sebagai agensi pelaksana. Bantuan ini akan disalurkan melalui bank dan Pejabat Pos.
- Kedua: Bantuan persekolahan 100 ringgit diberi kepada semua pelajar sekolah rendah dan menengah dari Tahun Satu hingga Tingkatan Lima di seluruh negara. Memandangkan bantuan ini disasarkan kepada keluarga yang berpendapatan rendah dan sederhana, atas dasar kebertanggungjawaban sosial, terpulanglah kepada budi bicara penjaga atau ibu bapa yang berkemampuan untuk menerima atau tidak. Di atas semuanya, langkah ini dijangka dapat meringankan beban perbelanjaan persekolahan. Bantuan ini dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 5.3 juta pelajar dan melibatkan peruntukan 530 juta ringgit. Bantuan ini juga akan dilaksanakan melalui akaun Bank Simpanan Nasional.
- Ketiga: Pemberian baucar buku bernilai 200 ringgit kepada semua pelajar warganegara Malaysia di institusi pengajian tinggi awam dan swasta tempatan, matrikulasi serta pelajar tingkatan enam di seluruh negara. Bantuan ini dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 1.3 juta pelajar dan melibatkan peruntukan 260 juta ringgit.
113. Kita sedang berada dalam bulan Zulhijjah dan seruan haji
sebagai Rukun Islam kelima sentiasa saja berkumandang kepada
hamba-hambaNya untuk menuju Baitullah dari mana saja penjuru dunia.
Dalam hal ini, Kerajaan menyedari, ramai golongan berpendapatan rendah
menghadapi masalah untuk mendaftar dan mendapat giliran haji kerana
tidak mempunyai tabungan minima sebanyak 1,300 ringgit. Justeru, bagi
membolehkan bakal jemaah mendaftar untuk menunaikan ibadah haji,
Kerajaan dengan ini membenarkan pencarum KWSP membuat pendaftaran awal
melalui penghadangan atau ring-fencing Akaun 2 pencarum sebanyak 1,300
ringgit. Melalui kaedah ini, wang pencarum sejumlah 1,300 itu masih
kekal dalam KWSP tetapi pencarum sudah boleh mendaftar giliran untuk
menunaikan haji.
114. Kerajaan yakin penjawat awam akan terus mempertingkatkan kualiti
perkhidmatan dalam mempastikan agenda pembangunan nasional menjadi
kenyataan. Dalam konteks ini, seperti yang semua ketahui, pada bulan
Ogos yang lalu, Kerajaan telah pun membayar bonus setengah bulan gaji
dengan bayaran minimum 500 ringgit kepada penjawat awam dan bayaran
bantuan 500 ringgit kepada pesara.
115. Berdasarkan sokongan dan komitmen penjawat awam yang tidak
terhargakan dalam mencapai matlamat pembangunan negara, sukacita saya
mengumumkan tambahan bonus setengah bulan gaji dengan bayaran minimum
500 ringgit dan bayaran bantuan 500 ringgit kepada pesara Kerajaan.
Bayaran ini akan dibuat bersekali dengan gaji bulan Disember 2011. Ini
akan menjadikan jumlah bonus bagi tahun 2011 bersamaan sebulan gaji
dengan bayaran minimum seribu ringgit bagi penjawat awam dan bantuan
seribu ringgit bagi pesara Kerajaan. Bayaran ini akan memanfaatkan 1.3
juta penjawat awam serta 618 ribu pesara Kerajaan. Bayaran bonus dan
bantuan dua kali pada tahun ini akan menelan belanja sebanyak 4 bilion
ringgit.
116. Menyedari tanggungjawab, tugas serta beban kerja Ahli-ahli
Parlimen yang semakin bertambah dari hari ke hari dan perlunya kita
memupuk budaya politik baru bersesuaian dengan Program Transformasi
Politik yang saya umumkan baru-baru ini, maka, Kerajaan dengan ini
bercadang untuk mengkaji semula elaun dan kemudahan Ahli-ahli Parlimen
sekalian. Dengan syarat…..kedua-dua belah pihak, parti Kerajaan dan
parti pembangkang mestilah seiya sekata bersetuju. Termasuklah yang
bebas-bebas itu. Setelah dipersetujui nanti, elaun baru ini akan berkuat
kuasa pada 1 Januari tahun depan.