B. Menahan kehendak-kehendak yang negatif. Untuk menahan kehendak nafsu tidak mudah. Terasa sangat menyeksa jiwa. Sebab kehendak nafsu adalah juga kehendak kita (nafsu sebahagian dari kita). Bayangkan, kita ingin melawan kehendak kita, tentu terseksa. Contohnya, mereka yang sejak kecil lagi telah terbiasa merokok. Kehendak nafsu itu tidak mudah hendak dibuang kerana sudah mendarah daging. Walau bagaimana payahpun melawan nafsu, segala kehendak yang negatif berdasarkan syariat perlu dilawan dan dihindarkan.
C. Mendorong kehendak-kehendak yang positif. Bila kita suluh dengan ilmu, ada kehendak-kehendak nafsu yang positif maka hendaklah kita dorong. Hendaklah kita giatkan lagi supaya dapat membuat kebaikan yang banyak. Lakukan sebanyak-banyak perkara yang nafsu benci. Nafsu benci kalau kita pemurah, tetapi ia suka kalau kita bakhil atau kedekut, maka lawanlah ia dengan memperbanyakkan sedekah. Nafsu benci jika kita banyak solat sunat, lebih-lebih lagi di malam hari, tetapi ia suka kalau kita tidur dan lalai. Maka lawanlah ia dengan banyakkan berqiamullail di malam hari.
D. Istiqamah. Dalam melakukan usaha untuk menahan kehendak nafsu yang negatif dan mendorong kehendak nafsu yang positif kita akan merasakan kesusahannya. Inilah yang dinamakan mujahadah. Dalam bermujahadah hendaknya istiqamah. Kita memerlukan kesungguhan, dorongan dari fikiran dan seluruh tenaga lahir untuk bermujahadah. Ertinya, perlu dikerahkan seluruh tenaga dalam diri untuk mencapai maksud itu. Tidak boleh dilakukan secara bermusim, kadang-kadang kita mengikuti yang negatif atau tidak lagi terdorong untuk melaksanakan kehendak nafsu yang positif.
Ada orang hanya bermujahadah melawan nafsu di bulan Ramadhan sahaja, itupun kerana terpaksa. Malah ada yang mujahadahnya hanya disiang hari, dimalam harinya dia makan semahu-mahunya, hingga tidak mampu bangun lagi. Jelaslah dia telah dikalahkan nafsu. Istiqamah sangat sukar kerana bila nafsu didorong pada hal-hal yang positif, ada yang terkorban. Itu bukan mudah. Misalnya, berderma. Berderma itu mudah dari segi ilmunya, tetapi dari segi realitinya susah dan berat sebab ada yang terkorban. Tetapi kita mesti terus bermujahadah, biar konsisten atau menjadi rutin.
Tujuan istiqamah ialah agar kebaikan yang dibuat dan kejahatan yang ditinggalkan menjadi tabiat. Bila dikatakan tabiat, ertinya sudah melekat dengan peribadi kita. Sudah tidak terasa berat. Bila yang negatif, terluncur (spontan) saja ditinggalkan. Begitu juga kalau yang positif, terluncur saja dibuat. Tanpa difikirkan dan tanpa perlu mujahadah lagi.
E. Mesti ada guru (murabbi) sebagai tempat rujuk. Sepintas lalu, jika sudah memahami syariat, apa perlunya guru. Bukankah semuanya sudah difahami? Tetapi perlu diingat, di dalam ajaran Islam ada hal-hal yang seni, halus yang bukan berbentuk lahiriah. Hal-hal itu tidak dapat dilihat dengan mata, akal atau hati yang biasa. Pada keadaan seperti itu, guru sangat diperlukan. Misalnya, bila kita mendorong nafsu pada hal-hal yang positif, misalnya berderma, maka berdermalah habis-habisan. Ketika kita mengetahui dari segi syariat, berkorban itu digalakkan, maka kitapun berkorban, hingga tidak ada satu pun yang tinggal pada keluarga sendiri. Dapur rumah pun tidak berasap. Pada saat itulah perlu ada guru yang menunjukkan.
F. Mujahadah dan riadah. Kita perlu mengerahkan seluruh tenaga dalam diri (lahir dan batin) untuk mendorong kehendak nafsu yang positif dan menahan kehendak nafsu yang negatif. Hal itu memerlukan latihan (riadah). Misalnya, berani perlu dilatih. Seseorang yang hanya duduk di rumah, diberi ilmu dan nas tentang sabar tetapi tidak ditunjukkan pada realiti kehidupan, ertinya tidak dilatih untuk sabar. Kerana itu ketika bergaul dengan masyarakat, barulah dia berhadapan dengan cabaran.
Dalam masyarakat ada orang yang hasad dengki, pemarah dan sifat-sifat lain yang sangat menguji kesabarannya. Justeru kerana itulah anak-anak yang belajar di pusat-pusat pengajian Islam, sekolah-sekolah agama atau pusat tahfiz, sangat berbahaya jika tidak diberikan latihan "terjun" langsung ke tengah masyarakat untuk menghadapi realiti kehidupan.
Kadangkala setelah 15 tahun mengaji, baru terjun ke tengah masyarakat. Akibatnya mereka itu tidak tahan uji, kerana tidak pernah dilatih untuk itu. Tidak hairan ramai yang kecundang. Selalu kita dengar orang-orang begini terlibat dalam jenayah atau maksiat. Bila berhadapan dengan godaan mudah saja mereka "hanyut". Keadaan mereka sama seperti orang yang dibekali dengan berbagai senjata tetapi tidak pernah dilatih cara menggunakannya (berperang).
Tiba-tiba saja dihadapkan kepada peperangan sebenar, maka sudah tentu mereka kalah. Justeru itu mesti ada latihan (berperang) dengan hawa nafsu, itulah yang disebut dengan riadatunnafs (latihan melawan nafsu). Bagi kita selain memberikan latihan-latihan secara langsung dengan membuat khidmat masyarakat seperti ikut bergotong royong, diberikan hukuman dengan tujuan untuk mendidik juga sangat diperlukan dalam proses mujahadah dan riadah. Jika keenam-enam cara ini ditempuh dengan sebaik-baiknya barulah nafsu terdidik. Bila nafsu terdidik ertinya separuh dari diri telah terdidik kerana nafsu itu merupakan sebahagian dari diri kita.
Selain itu, bererti kita akan dapat menilai nafsu kita di peringat mana, terutama bagi mereka yang dekat dengan murabbi atau guru yang mursyid.
Janji Allah bagi orang yang berjihad (mujahadah), dan bagi mereka yang berjaya melawan hawa nafsunya:
وَٱلَّذِينَ جَـٰهَدُواْ فِينَا لَنَہۡدِيَنَّہُمۡ سُبُلَنَاۚ وَإِنَّ ٱللَّهَ لَمَعَ ٱلۡمُحۡسِنِينَ "
Barang siapa yang benar-benar berjuang di jalan Kami, nescaya akan Kami tunjukkan jalan-jalan Kami. Sesungguhnya Allah bersama orang-orang yang berbuat baik." [Al-Ankabut:29:69]
وَأَمَّا مَنۡ خَافَ مَقَامَ رَبِّهِۦ وَنَهَى ٱلنَّفۡسَ عَنِ ٱلۡهَوَىٰ , فَإِنَّ ٱلۡجَنَّةَ هِىَ ٱلۡمَأۡوَىٰ "
Adapun orang yang takutkan keadaan semasa dia berdiri di mahkamah Tuhannya, (untuk dihitung amalnya), serta dia menahan dirinya dari menurut hawa nafsu; Maka sesungguhnya Syurgalah tempat kediamannya." (An-Naziat:79:40-41)