Batalkah Air Wuduk Suami Dan Isteri Bila Bersentuhan?
Ada dua pandangan ulama soal sama ada batal wuduk atau tidak jika bersentuhan suami dan isteri.
Pandangan pertama Mazhab Syafie mengatakan batal wuduk jika bersentuhan lelaki dan wanita yang harus berkahwin.
Pandangan kedua Mazhab Syafie juga mengatakan tidak batal wuduk bersentuhan lelaki dan wanita dalam suasana masahaqah (kepayahan/kesusahan) seperti tawaf haji jika bersentuhan tanpa syahwat.
Mazhab Hanafi pula berpandangan sentuhan suami isteri tidak batal tanpa syahwat.
Semua perbezaan ini terjadi kerana perbezaan tafsir ayat “Atau jika kamu (lelaki) menyentuh (laamastum) perempuan.” (Al-Maidah:6) Mereka yang mentafsirkan laamastum (mulamasah) pada ayat di atas dengan maksud bersentuhan (al-lams) mengatakan batal wuduk dengan bersentuh suami isteri.
Hanafi pula mentafsirkannya dengan jimak, bukan bersentuhan. Penafsiran mereka ini disokong oleh beberapa hadis riwayat Aisyah, katanya: “Bahawa Rasulullah SAW mencium atau kucupnya, sedangkan baginda berpuasa, dan sabdanya: ‘Sesungguhnya ciuman tidak membatalkan wuduk dan tidak membatalkan puasa’.”
Konsep batal air sembahyang selepas ijab kabul adalah adat dalam perkahwinan Melayu di mana selepas ijab kabul, pengantin perempuan akan mengucup tangan suami buat kali pertama sebagai isteri yang sah dan terbatallah wuduk mereka.