Carian Di Blog Ini

Selasa, 22 November 2011

Maksud Penerangan Hadis Qudsi

Maksud dan Penerangan Hadis Qudsi

Ulamak hadis mengatakan bahawa Hadis Qudsi itu ialah perkataan Nabi yang disebut dengan mengatakan Allah bertitah, disandarkan perkataan itu kepada Allah dan diriwayatkan daripadaNya.

Hadis Qudsi itu adalah sama setingkat dengan firman Allah Ta'ala (Al-Quran) , hanya dia diwahyukan secara langsung, yakni terus menerus kepada Nabi s.a.w di mana baginda pula telah menyampaikan kepada umatnya menerusi lisannya. Jadi kedudukan Hadis ini adalah di tengah-tengah antara firman Allah Ta'ala dan Hadis Nabi s.a.w.

Kesimpulan Hadis Qudsi ialah titah Allah yang disampaikan kepada Nabi di dalam mimpi atau dengan jalan ilham, lalu Nabi menerangkan apa yang disampaikan itu kepada umatnya dengan ibarat atau susunan perkataannya sendiri serta menyandarkan kepada Allah; sedang hadis-hadis yang lain tidak demikian. Hadis Qudsi itu dinamakan juga Hadis Ilahi atau Hadis Rabbani.

Hadis yang akan dibincangkan diambil dari Kitab "Hadis Qudsi Analisa Dan Komentar" ditulis oleh Syed Ahmad Semait, seorang ulama' Singapura yang disegani.

Semoga peribadatan yang disembahkan kepada Tuhan itu benar-benar datangnya dari seorang hamba yang mengaku perhambaannya kepada Tuhan yang Maha Besar lagi Maha Tinggi. Dan juga mempelajari ilmu-ilmu yang bermanfaat sebagai penyuluh kehidupan kita baik duniawi atau ukhrawi.