Carian Di Blog Ini

Memaparkan catatan dengan label KAWAL NAFSU. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label KAWAL NAFSU. Papar semua catatan

Khamis, 1 September 2011

PETUA MENANGANI NAFSU

Daripada Jabir Bin Abdullah r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W melihat seorang wanita, lalu baginda mendatangi Zainab, isteri Baginda yang sedang menyamak kulit miliknya. Kemudian Rasulullah S.A.W memenuhi keinginan Baginda. Setelah itu, Baginda keluar kepada para sahabat, lalu kemudian baginda bersabda:

"Sesungguhnya wanita itu bila dilihat daripada depan dan belakang tampak memikat kerana ada pengaruh Syaitan. Apabila seseorang itu melihat lalu terpikat, maka segeralah pulang untuk menyetubuhi isterinya, kerana itu dapat meleraikan nafsunya." - Hadis riwayat Muslim (no: 1403)

Hadis ini mengisahkan kisah Rasulullah S.A.W di mana pada suatu ketika Baginda terlihat seorang wanita daripada jarak jauh dan kemudian dirinya khuatir (Padahal Baginda ma'sum) terjerumus kepada sesuatu. Baginda sangat kagum melihat wanita tersebut, dan Baginda juga berasa sesuatu yang berbentuk perasaan suka.

Baginda kemudiannya pulang ke rumah dan bertemu isteri baginda Zainab , dan ketika itu isteri Baginda sedang menyamak kulit. Namun, Rasulullah S.A.W tidak bergegas meleraikan nafsunya akan tetapi beliau menunggu sehingga si isteri selesai daripada pekerjaannya. Setelah selesai barulah kedua-duanya memenuhi hajat masing-masing.

Setelah itu Baginda keluar menemui para sahabatnya dan bersabda seperti yang di atas yakni Baginda berusaha untuk menolak dan mencegah munculnya godaan syaitan yang ditujukan padanya.

Hal ini samalah seperti nikah. Mengapa disyariatkan untuk bernikah? Nikah disyariatkan kerana ia merupakan sesuatu yang wajib bagi orang yang memerlukannya, kerana khuatir mereka terjerumus ke lembah zina.

Rasulullah S.A.W tidak melihat wanita tersebut dengan sengaja dan perasaan suka tersebut hanya terlintas secara tidak sengaja.

Oleh sebab itu Allah memerintahkan kaum lelaki dan wanita untuk menundukkan pandangan serta menjaga kemuliaan diri.

Firman Allah: "Katakanlah kepada lelaki yang beriman hendaklah mereka menahan pandangannya, dan memlihara kemaluannya, yang demikian itu adalah lebih suci bagi mereka, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang mereka lakukan."

"Katakanlah kepada wanita beriman, hendaklah mereka menahan pandangan dan memelihara kemaluannya, dan janganlah mereka perlihatkan perhiasannya, kecuali yang biasa nampak padanya. Dan hendaklah mereka menutup kain tudung ke dadanya kecuali kepada suami mereka atau ayah mereka atau ayah suami mereka, atau putera-putera mereka atau putera-putera suami mereka atau saudara-saudara lelaki mereka atau putera-putera saudara mereka , atau putera-putera saudara perempuan mereka, atau wanita-wanita islam..." -An-Nur

Sesungguhnya Syaitan mendatangi kaum lelaki darpada depan dan juga belakang. Jikalau daripada depan Syaitan memperdayakan lelaki pada wajah dan payudara kaum wanita manakala daripada belakang Syaitan memperdayakan kaum lelaki pada pinggul dan kemaluannya.

Syaitan mempunyai pelbagai taktik kotor untuk memperdayakan manusia. Oleh sebab itu kita harus berusaha melawan godaan Syaitan yang sebenarnya akan membawa kepada kehancuran buat kita. Wallahualam.

Isnin, 15 Ogos 2011

KAWAL NAFSU BULAN RAMADHAN - BAHAGIAN 2

SAMBUNGAN DARI TOPIK: KAWAL NAFSU MAKAN BULAN RAMADHAN - BAHAGIAN 1

B. Menahan kehendak-kehendak yang negatif. Untuk menahan kehendak nafsu tidak mudah. Terasa sangat menyeksa jiwa. Sebab kehendak nafsu adalah juga kehendak kita (nafsu sebahagian dari kita). Bayangkan, kita ingin melawan kehendak kita, tentu terseksa. Contohnya, mereka yang sejak kecil lagi telah terbiasa merokok. Kehendak nafsu itu tidak mudah hendak dibuang kerana sudah mendarah daging. Walau bagaimana payahpun melawan nafsu, segala kehendak yang negatif berdasarkan syariat perlu dilawan dan dihindarkan.

C. Mendorong kehendak-kehendak yang positif. Bila kita suluh dengan ilmu, ada kehendak-kehendak nafsu yang positif maka hendaklah kita dorong. Hendaklah kita giatkan lagi supaya dapat membuat kebaikan yang banyak. Lakukan sebanyak-banyak perkara yang nafsu benci. Nafsu benci kalau kita pemurah, tetapi ia suka kalau kita bakhil atau kedekut, maka lawanlah ia dengan memperbanyakkan sedekah. Nafsu benci jika kita banyak solat sunat, lebih-lebih lagi di malam hari, tetapi ia suka kalau kita tidur dan lalai. Maka lawanlah ia dengan banyakkan berqiamullail di malam hari.

D. Istiqamah. Dalam melakukan usaha untuk menahan kehendak nafsu yang negatif dan mendorong kehendak nafsu yang positif kita akan merasakan kesusahannya. Inilah yang dinamakan mujahadah. Dalam bermujahadah hendaknya istiqamah. Kita memerlukan kesungguhan, dorongan dari fikiran dan seluruh tenaga lahir untuk bermujahadah. Ertinya, perlu dikerahkan seluruh tenaga dalam diri untuk mencapai maksud itu. Tidak boleh dilakukan secara bermusim, kadang-kadang kita mengikuti yang negatif atau tidak lagi terdorong untuk melaksanakan kehendak nafsu yang positif.

Ada orang hanya bermujahadah melawan nafsu di bulan Ramadhan sahaja, itupun kerana terpaksa. Malah ada yang mujahadahnya hanya disiang hari, dimalam harinya dia makan semahu-mahunya, hingga tidak mampu bangun lagi. Jelaslah dia telah dikalahkan nafsu. Istiqamah sangat sukar kerana bila nafsu didorong pada hal-hal yang positif, ada yang terkorban. Itu bukan mudah. Misalnya, berderma. Berderma itu mudah dari segi ilmunya, tetapi dari segi realitinya susah dan berat sebab ada yang terkorban. Tetapi kita mesti terus bermujahadah, biar konsisten atau menjadi rutin.

Tujuan istiqamah ialah agar kebaikan yang dibuat dan kejahatan yang ditinggalkan menjadi tabiat. Bila dikatakan tabiat, ertinya sudah melekat dengan peribadi kita. Sudah tidak terasa berat. Bila yang negatif, terluncur (spontan) saja ditinggalkan. Begitu juga kalau yang positif, terluncur saja dibuat. Tanpa difikirkan dan tanpa perlu mujahadah lagi.

E. Mesti ada guru (murabbi) sebagai tempat rujuk. Sepintas lalu, jika sudah memahami syariat, apa perlunya guru. Bukankah semuanya sudah difahami? Tetapi perlu diingat, di dalam ajaran Islam ada hal-hal yang seni, halus yang bukan berbentuk lahiriah. Hal-hal itu tidak dapat dilihat dengan mata, akal atau hati yang biasa. Pada keadaan seperti itu, guru sangat diperlukan. Misalnya, bila kita mendorong nafsu pada hal-hal yang positif, misalnya berderma, maka berdermalah habis-habisan. Ketika kita mengetahui dari segi syariat, berkorban itu digalakkan, maka kitapun berkorban, hingga tidak ada satu pun yang tinggal pada keluarga sendiri. Dapur rumah pun tidak berasap. Pada saat itulah perlu ada guru yang menunjukkan.

F. Mujahadah dan riadah. Kita perlu mengerahkan seluruh tenaga dalam diri (lahir dan batin) untuk mendorong kehendak nafsu yang positif dan menahan kehendak nafsu yang negatif. Hal itu memerlukan latihan (riadah). Misalnya, berani perlu dilatih. Seseorang yang hanya duduk di rumah, diberi ilmu dan nas tentang sabar tetapi tidak ditunjukkan pada realiti kehidupan, ertinya tidak dilatih untuk sabar. Kerana itu ketika bergaul dengan masyarakat, barulah dia berhadapan dengan cabaran.

Dalam masyarakat ada orang yang hasad dengki, pemarah dan sifat-sifat lain yang sangat menguji kesabarannya. Justeru kerana itulah anak-anak yang belajar di pusat-pusat pengajian Islam, sekolah-sekolah agama atau pusat tahfiz, sangat berbahaya jika tidak diberikan latihan "terjun" langsung ke tengah masyarakat untuk menghadapi realiti kehidupan.

Kadangkala setelah 15 tahun mengaji, baru terjun ke tengah masyarakat. Akibatnya mereka itu tidak tahan uji, kerana tidak pernah dilatih untuk itu. Tidak hairan ramai yang kecundang. Selalu kita dengar orang-orang begini terlibat dalam jenayah atau maksiat. Bila berhadapan dengan godaan mudah saja mereka "hanyut". Keadaan mereka sama seperti orang yang dibekali dengan berbagai senjata tetapi tidak pernah dilatih cara menggunakannya (berperang).

Tiba-tiba saja dihadapkan kepada peperangan sebenar, maka sudah tentu mereka kalah. Justeru itu mesti ada latihan (berperang) dengan hawa nafsu, itulah yang disebut dengan riadatunnafs (latihan melawan nafsu). Bagi kita selain memberikan latihan-latihan secara langsung dengan membuat khidmat masyarakat seperti ikut bergotong royong, diberikan hukuman dengan tujuan untuk mendidik juga sangat diperlukan dalam proses mujahadah dan riadah. Jika keenam-enam cara ini ditempuh dengan sebaik-baiknya barulah nafsu terdidik. Bila nafsu terdidik ertinya separuh dari diri telah terdidik kerana nafsu itu merupakan sebahagian dari diri kita.

Selain itu, bererti kita akan dapat menilai nafsu kita di peringat mana, terutama bagi mereka yang dekat dengan murabbi atau guru yang mursyid.

Janji Allah bagi orang yang berjihad (mujahadah), dan bagi mereka yang berjaya melawan hawa nafsunya:

وَٱلَّذِينَ جَـٰهَدُواْ فِينَا لَنَہۡدِيَنَّہُمۡ سُبُلَنَا‌ۚ وَإِنَّ ٱللَّهَ لَمَعَ ٱلۡمُحۡسِنِينَ "
Barang siapa yang benar-benar berjuang di jalan Kami, nescaya akan Kami tunjukkan jalan-jalan Kami. Sesungguhnya Allah bersama orang-orang yang berbuat baik." [Al-Ankabut:29:69]

وَأَمَّا مَنۡ خَافَ مَقَامَ رَبِّهِۦ وَنَهَى ٱلنَّفۡسَ عَنِ ٱلۡهَوَىٰ , فَإِنَّ ٱلۡجَنَّةَ هِىَ ٱلۡمَأۡوَىٰ "
Adapun orang yang takutkan keadaan semasa dia berdiri di mahkamah Tuhannya, (untuk dihitung amalnya), serta dia menahan dirinya dari menurut hawa nafsu; Maka sesungguhnya Syurgalah tempat kediamannya." (An-Naziat:79:40-41)

KAWAL NAFSU MAKAN BULAN RAMADHAN - BAHAGIAN 1

Ramadhan: Mari Kalahkan Nafsu

Nafsulah yang sangat menghalang diri manusia daripada bertaqwa. Oleh itu langkah pertama untuk bertaqwa ialah memerangi hawa nafsu itu. Nafsu mengajak kita lupakan Allah, lalai akan-Nya, tidak peduli akan-Nya, tidak menyembah-Nya dan melanggar perintah-Nya. Nafsu menghalang kita daripada bersyukur kepada Allah, daripada sabar dengan Allah, daripada redha dengan Allah, daripada tawakal dan harap kepada Allah. Maka lawanlah nafsu kita agar hati tidak dikuasainya, supaya kita syukur, sabar, redha, tawakal dan harap kepada Allah.

Nafsu mendorong kita bersifat sombong, takabur, hasad, dengki, dendam kesumat, buruk sangka, bakhil, cinta dunia, pemarah, kasar, ujub, riyak dan lain-lain sifat mazmumah. Oleh kerana sifat nafsu yang asal (ammarah) itu sentiasa mengajak, mendorong atau menyuruh ke arah kejahatan, maka nafsu itu perlu dilawan, dikalahkan dan dilumpuhkan segala kehendaknya. Ajakannya mesti kita lawan. Kita ajak hati kita berazam untuk menjadi hamba Allah yang sedar dirinya hamba, punya sifat kehambaan dan berakhlak sebagai hamba seperti merendah diri, berkasih sayang dengan orang mukmin, pemurah, berbaik sangka, pemaaf, lemah lembut dan lain-lain. Berjanjilah dengan diri dan bersungguh-sungguhlah untuk membuang sifat mazmumah supaya diganti dengan sifat mahmudah itu.

Allah SWT perkenalkan sifat nafsu kepada kita: وَمَآ أُبَرِّئُ نَفۡسِىٓ‌ۚ إِنَّ ٱلنَّفۡسَ لَأَمَّارَةُۢ “Sesungguhnya hawa nafsu sangat mengajak kepada kejahatan.” (Yusuf: 12:53) Kerana itu juga Allah SWT perintahkan berpuasa, kerana puasa itu salah satu cara untuk melawan nafsu.

Perintah puasa itu matlamat akhirnya agar kita memperolehi taqwa. يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ كُتِبَ عَلَيۡڪُمُ ٱلصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى ٱلَّذِينَ مِن قَبۡلِڪُمۡ لَعَلَّكُمۡ تَتَّقُونَ Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa. (Al-Baqarah: 2:183)

Puasa (dalam bahasa Arab: صوم) secara bahasanya boleh diertikan sebagai menahan diri. Puasa ertinya menahan diri daripada makan dan minum serta segala perbuatan yang boleh membatalkan puasa, mulai dari terbit fajar sehinggalah terbenam matahari. الْمُجَاهِدُ مَنْ جَاهَدَ نَفْسَهُ "Orang yang berjihad ialah yang berjuang menentang kehendak dirinya (nafsu yang buruk)." (At-Tirmizi, 1621)

رجعنامن الجهاد ألا صغر إلى الجهاد ألاكبر ، قالوا وما لجهاد ألاكبر؟ قال جهاد القلب أو جهاد النفس "Kita baru balik dari satu medan peperangan yang kecil menuju ke satu peperangan yang besar," kata Rasulullah.

Maka kehairananlah para sahabat lantas bertanya: "Peperangan apa itu ya Rasulullah?" jawab baginda: "Jihad hati atau jihadun nafs (berperang melawan hawa nafsu)." (Riwayat Baihaqi dengan sanad dhaif)

Untuk mendidik nafsu sangat sukar kerana nafsu adalah sebahagian dari diri manusia. Ia tidak dapat dipisahkan, tetapi ia tetap musuh kita. Kerana ia memberi jalan kepada syaitan untuk menyesatkan manusia. Oleh kerana itu jika kita gagal mendidik nafsu, ertinya kita gagal mendidik diri kita dan kita juga pasti gagal untuk mendidik manusia lain.

Nafsu peranannya berkehendak atau merangsang. Tugas nafsu hanya merangsang dan berkehendak. Kehendaknya sama ada baik atau jahat, mengikut keadaannya, kalau nafsu telah baik, maka dia mendorong kebaikan, jika ia masih belum terdidik, masih kekal jahat, maka pastilah ia mendorong kepada kejahatan. Kehendaknya semula jadi sangat gelojoh, rakus, tamak dan bakhil. Kemahuannya sangat luar biasa tidak ada batasnya, macam laut tidak bertepi.

Kalau hendak diikutkan, badan boleh merana, terseksa dan binasa. Bahayanya jika kita gagal mendidik nafsu. Jika kita kalah kepada musuh lahiriah, kalah dalam berjuang fi sablillah, Allah beri syahid, tetapi jika kalah dengan musuh batin yang bernama nafsu ini, akan menderita dari dunia hingga ke akhirat. Di dunia tiada ketenangan jiwa, sentiasa rasa sengsara, sementara di akhirat kekal dalam azab neraka yang amat pedih.

Firman Allah SWT: قَدۡ أَفۡلَحَ مَن زَكَّٮٰهَا وَقَدۡ خَابَ مَن دَسَّٮٰهَا “Sesungguhnya mendapat kemenanganlah orang-orang yang membersihkannya dan mendapat kecewalah orang yang mengotorinya.” (Asy Syams: 91: 9-10)

Kalau nafsu kita tidak terdidik dan sentiasa mengancam kita, bagaimana kita hendak mendidik nafsu orang lain? Inilah sumber kegagalan para pemimpin, ibu-bapa, guru-guru dan lain-lain dalam mendidik manusia. Mereka susah hati kerana anak-anak, rakyat dan murid tidak menuruti mereka. Masalahnya, bagaimana mereka dapat membetulkan orang lain jika mereka belum mampu membetulkan diri mereka sendiri. Jika tidak berjaya mendidik diri, mereka tidak akan berjaya mendidik orang lain.

Kerosakan masyarakat berpunca dari kegagalan mendidik nafsu. Akibatnya semakin cuba dididik, walau dengan pelbagai cara, masyarakat semakin rosak. Inilah yang terjadi sekarang. Ini semua bersumber dari nafsu yang tidak terdidik. Oleh kerana nafsu adalah sebahagian dari diri, maka ia sangat sulit untuk dilawan. Tetapi usaha melawan hawa nafsu (mujahadatunnafsi) mesti dilakukan. Jika tidak manusia akan sentiasa terdorong untuk berbuat jahat.

Untuk itu dalam melawan hawa nafsu kita mesti menempuh cara-cara sebagai berikut ini :

A. Memahami syariat. Jika syariat tidak difahami, kita tidak akan tahu sifat-sifat dan tindakan nafsu. Kita tidak akan tahu nafsu itu musuh, nafsu itu highway bagi syaitan dan kita tidak dapat menilai kehendak-kehendak nafsu, boleh ataupun tidak boleh, halal ataupun haram. Kita juga tidak akan tahu kejahatan nafsu dan sejauh mana nafsu telah dijinakkan. Perlu tahu dan faham peringkat-peringkat nafsu serta sifat-sifatnya. Mereka yang faham dan mencuba mendidik nafsu akan dapat menilai sudah sampai ke tahap mana nafsu mereka ditingkatkan? Tegasnya, jika syariat tidak difahami, syarat-syarat yang lain tidak akan bererti apa-apa. Nafsu pula ada 7 peringkat:

1. Ammarah - nafsu yang sangat jahat.
2. Lawwamah - nafsu yang lemah mujahadah, kerana itulah selalu sahaja mencerca dirinya
3. Mulhamah - nafsu yang sudah mula terpimpin dan terdidik tapi belum kuat, belum mendarah mendaging. Masih di dalam kebimbangan lagi. Itulah nafsu orang yang soleh.
4. Mutmainnah - nafsu yang sudah tenang, ia tidak dapat lagi digugat oleh kesenangan mahupun kesusahan sudah dapat darjat wali kecil.
5. Radhiah - nafsu yang sudah redha apa sahaja yang telah ditentukan oleh Allah sama ada senang mahupun susah.
6. Mardhiah - nafsu yang Tuhan pula redha dengannya.
7. Kamilah - kemuncak kebersihan nafsu. Tahap ini diperolehi oleh para rasul dan para nabi sahaja.

BERSAMBUNG DI TAJUK:
KAWAL NAFSU BULAN RAMADHAN - BAHAGIAN 2